Rabu, 22 Oktober 2014 | 7:13pm

Skuad pelayaran paralimpik negara capai sasaran di Incheon

INCHEON: Skuad pelayaran paralimpik negara menepati sasaran yang ditetapkan apabila berjaya mengumpul satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada temasya Sukan Para Asia Incheon di Wangsan Sailing Marina, di sini hari ini.

Ketua jurulatih pelayaran, Mohamad Rezaki Shoib berkata kutipan satu pingat perak dan satu gangsa menjadi bonus kepada skuad pelayaran apabila ia tidak disasarkan sebelum ini.

Pingat emas diraih Al Mustakim Matrin dengan kutipan 11 mata manakala Azmi Ani dengan 23 mata, meraih pingat perak dalam acara Perseorangan Keelboat.

"Keseluruhannya, skuad pelayaran negara berjaya di Incheon. Al Mustakim memang kita sasar emas dan dia berjaya beraksi dengan cemerlang seperti dirancang.

"Al Mustakim mendahului pelayar lain sepanjang perlawanan dan diikuti Azmi di belakangnya. Persaingan sengit antara Azmi dan pelayar dari Hong Kong," katanya kepada Bernama.

Pingat gangsa acara itu diraih pelayar Hong Kong, Foo Yuen Wai dengan jumlah pungutan 43 mata manakala pingat gangsa acara Beregu Keelboat diraih pasangan Nurul Amilin Balawi dan Mustafah Junell dengan kutipan 33 mata.

"Mustafah dan Amilin cuba mengejar pingat perak tetapi tidak berjaya apabila perlumbaan tidak diteruskan kerana ketiadaan angin," katanya.

Emas acara tersebut dimenangi pasangan Tan Wei Qiang dan Yap Qian Yin dari Singapura dengan sembilan mata manakala perak diraih Shinya Yamamoto dan Mari Kitagawa dari Jepun. - Bernama

Berita Harian X