Isnin, 7 March 2016 | 9:51am

Jimmy Carter tidak perlu lagi rawatan kanser paru-paru

JIMMY Carter mengumumkan beliau tidak lagi memerlukan rawatan kanser. - Foto Getty Images

ATLANTA: Bekas presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter mengumumkan beliau tidak lagi memerlukan rawatan kanser, kurang tujuh bulan selepas mendedahkan beliau didiagnosis dengan melanoma yang sudah merebak ke otak.

Carter, 91, berkongsi berita itu di kelas hari minggu tetapnya di Maranatha Baptist Church dekat kampung halamannya di Plains, Georgia.

Beliau diketahui gemar memulakan sesi pelajaran dengan maklumat ringkas mengenai aktiviti terkini dirinya.

Minggu ini, Carter memberitahu kelas, beliau menerima imbasan MRI yang mengambil masa lebih dua 2 jam.

"Selepas itu doktor memutuskan bahawa saya tidak perlu apa-apa rawatan lanjut," kata Carter dalam video yang disiarkan WXIA-TV.

Jurucakapnya, Deanna Congileo berkata dalam e-mel semalam, doktor akan terus melaksanakan imbasan untuk memastikan sel-sel kanser tidak kembali, dan Carter akan meneruskan rawatan jika perlu.

Bagaimanapun, jurucakap Institut Kanser Winship Universiti Emory, di mana Carter dirawat, enggan mengulas lanjut kerana membabitkan maklumat sulit pesakit. - AP

Berita Harian X