Isnin, 7 March 2016 | 12:16pm

Beri perhatian serius kepada ancaman keselamatan - Agong

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menerima Titah Diraja daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berangkat ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Parlimen Ke-13, hari ini. Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. - Foto BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menerima Titah Diraja daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berangkat ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Parlimen Ke-13, hari ini. Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ancaman militan dan anasir keganasan yang menular ke negara ini, sekali gus menggugat kesejahteraan rakyat perlu diberikan perhatian serius.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, bertitah usaha itu perlu berikutan ancaman berkenaan boleh menyebabkan negara terjerumus ke dalam kancah ketidakstabilan.

"Beta menyokong langkah proaktif dengan kewujudan undang-undang dan aset keselamatan bagi mengekang fahaman dan penularan ideologi militan.

"Selain itu, kerajaan juga komited menambah baik infrastruktur aset dan keperluan keselamatan di sempadan selain memperkasakan kawalan agensi keselamatan di sempadan," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat sidang Parlimen Ke-13, sebentar tadi.

Dalam titah ucapan sama, Tuanku Abdul Halim menyeru semua ahli Parlimen dan rakyat secara keseluruhan supaya bersatu menyayangi negara.

"Beta berharap semua ahli Parlimen berhentilah berpolitik untuk kepentingan sempit kerana ia sudah berlarutan sejak sekian lama yang melelahkan rakyat dan kerajaan.

"Berikanlah teladan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara yang berterusan," titah baginda.

Baginda turut bertitah, rakyat boleh berlainan pandangan dalam negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan.

"Raikanlah ruang berkenaan, namun bukan saling menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah yang akhirnya menjerumus negara kepada kehancuran.

"Elakkan juga daripada memburuk-burukkan negara di mata masyarakat antarabangsa," titah baginda.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X