Isnin, 7 March 2016 | 1:09pm

CEO Pahang FC letak jawatan


Fahrizal Hasan.

KUANTAN: Kegagalan Pahang layak ke suku akhir Piala FA menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pahang FC Sdn Bhd, Fahrizal Hasan mengumumkan pengundurannya dalam skuad itu.

Fahrizal memohon maaf di atas segala permasalahan yang berlaku dalam pasukan berkenaan termasuk kegagalan skuad Tok Gajah menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik piala itu musim ini.

Katanya, sebelum bermulanya musim 2016, pengurusan faham akan risiko diambil dan beliau sendiri bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

"Hasil perbincangan, pihak pengurusan menerima keputusan saya untuk mengundur diri. Saya meminta maaf atas segala kesilapan.

"Saya ingin berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak kerana banyak membantu saya selama ini. Saya mula berkhidmat bersama PBNP sejak 2012. Kenangan manis dan pahit akan terpahat selama-lamanya dan menjunjung kasih kepada Presiden.

"Saya juga bernasib baik dikelilingi oleh individu yg memberikan komitmen yang tinggi dan mewujudkan budaya kerja baru sejak penubuhan PFC," katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Bagaimanapun, Fahrizal tetap yakin dan percaya dengan skuad muda yang dibentuk musim ini dan mereka akan matang dan menjadi kuasa besar bola sepak satu hari nanti.

"Saya cuma boleh mengharapkan supaya kita cekal, tabah dan bersabar menghadapi segala dugaan, cabaran dan ujian. Teruskan usaha untuk kejayaan. Saya dilahirkan sebagai seorang penyokong Pahang dan selama-lamanya akan tetap menyokong Pahang. "Ku Lihat, Ku Sokong, Ku Banggakan," katanya .

Sementara itu, pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh mengesahkan bahawa nasib ketua jurulatih skuad itu, Ahmad Shaharuddin Rosdi akan diketahui dalam tempoh terdekat.

Katanya, keputusan itu akan dimaklumkan selepas menemui Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

"Semua sedia maklum bahawa Shaharuddin sebelum ini rela hati untuk menerima segala keputusan jika Pahang gagal layak ke suku akhir piala berprestij itu.

"Oleh itu saya akan berjumpa dengan Presiden untuk mendapatkan kata putus berhubung kedudukan Shaharuddin," katanya.

Berdasarkan rekod enam perlawanan, Pahang mencatat satu kemenangan, satu seri dan empat kekalahan.

Ketiadaan sebahagian besar pemain utama dan diganti dengan pemain muda yang jelas kurang berpengalaman mengganggu rentak sebenar skuad itu.

Pada masa sama, kehadiran tiga pemain import baharu juga yang tidak banyak membantu skuad Tok Gajah menyebabkan segala percaturan dilakukan serba tidak menjadi.

Berita Harian X