Isnin, 7 March 2016 | 2:49pm

Sultan titah kerajaan Kelantan elak majlis keraian


SULTAN Muhammad Ke V bertitah merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-13, Tahun 2016, di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke V hari ini menitahkan kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan penjimatan operasi dan perbelanjaan mengikut keutamaan.

Bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-13, Tahun 2016, di sini, sebentar tadi, baginda mahu program berbentuk keraian dielakkan, sebaliknya mengutamakan program yang memberi impak langsung kepada rakyat.

"Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak sudah tentu terjejas jika harga minyak dan harga komoditi terus jatuh.

"Kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia membebankan. Ia menyebabkan inflasi serta kenaikan harga barangan keperluan harian dan keadaan ini akan menjadi lebih parah jika kewangan negara tidak diurus secara berkesan.

"Justeru, sebagai persediaan menghadapi fasa kemelesetan, Beta sarankan supaya kerajaan negeri terus mengambil langkah proaktif. Dalam keadaan ini, langkah penjimatan dalam operasi dan perbelanjaan berdasarkan keutamaan yang diamalkan oleh kerajaan wajar diteruskan," titah baginda.

Yang turut hadir, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Sultan Muhammad V bertitah, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu membuat semakan mengenai rancangan tempatan dengan mengambil manfaat daripada projek pembangunan infrastruktur berkenaan menerusi kewujudan kawasan industri baharu.

Titah baginda, perkembangan projek infrastruktur di negeri ini yang berimpak tinggi kini dalam pembinaan dan perancangan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Projek yang sudah dimulakan ialah membina Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai yang dilaksanakan secara berfasa."

Projek lain yang akan dilaksanakan ialah pembinaan pakej 'Central Spine Road' dari Kuala Krai hingga ke Gua Musang, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, serta rancangan tebatan banjir bagi Lembangan Sungai Kelantan dan Lembangan Sungai Golok.

"Menerusi RMK11 juga Jambatan Pengkalan Kubur-Tak Bai dan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok dapat dilaksanakan seperti dirancang," titah baginda.

Baginda juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat membuat pelebaran jalan raya Timur-Barat yang menghubungkan Kelantan dan Perak bagi mengatasi masalah kemalangan maut yang sering kali berlaku di laluan berkenaan.

Berita Harian X