Isnin, 7 March 2016 | 4:19pm

'Saya dan suami bahagia' - Balkisyh Semundur Khan

 BALKISYH Semundur Khan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
BALKISYH Semundur Khan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Pelakon drama dan teater Mak Cun, Balkisyh Semundur Khan terkejut apabila dimaklumkan berita kononnya dia mahu bercerai dengan suami, Mohd Aizad Mohd Rosli, tersebar pagi tadi.

Balkisyh ketika dihubungi BH Online menafikan perkara itu.

"Untuk makluman, tahun ini, masuk tahun ke-10 kami berkahwin. Alhamdulillah, kami masih bahagia.

"Setakat 'gaduh-gaduh manja' itu biasalah, tapi hanya di rumah dan tidaklah sampai hendak bawa ke mahkamah," katanya.

Balkisyh mengulas gosip bertebaran kononnya kes perceraiannya dengan Mohd Aizad, disebut di sebuah Mahkamah Rendah Syariah, di sini, pagi tadi.

"Sejujurnya, saya amat terkejut dengan penyebaran cerita ini. Siapa pula yang menyampaikan cerita begitu.

"Suami saya berada di Pahang. Saya pula pagi tadi berada di Damansara, Petaling Jaya untuk penggambaran drama Mak Cun.

"Sekarang, saya berada di kawasan berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pula," katanya.

Balkisyh berkata, dia pelik apabila ramai wartawan menghubungi bertanyakan perkara itu.

"Suami saya ada di Pahang kerana bekerja dengan sebuah produksi untuk projek telefilem," katanya.

Hasil perkahwinan dengan Mohd Aizad, mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Qalesya, 7, dan Muhamad Nor Qaisyh Khan, 2.

Balkisyh sudah 12 tahun terbabit dalam dunia seni.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X