Isnin, 7 March 2016 | 6:13pm

19 terkorban serangan militan di Tunisia

GAMBAR fail menunjukkan tentera Tunisia berkawal di pintu masuk sempadan di Ras Jdir Ben Guerdane pada 5 Disember 2014. - Foto Reuters

BEN GUERDANE: Seramai 19 maut apabila militan menyerang berek di bandar Tunisia berhampiran sempadan Libya yang mencetuskan pertempuran sengit.

Antara yang terbunuh termasuk tiga penduduk awam, tiga anggota keselamatan dan 13 militan.

Ia adalah pertempuran berdarah kedua di kawasan sempadan dalam masa tidak sampai seminggu, ketika Tunisia bergelut dengan tempias keganasan dari negara jirannya itu.

Seorang budak berusia 12 tahun ialah antara orang awam yang terkorban di Ben Guerdane, kata pegawai hospital, Abdelkrim Chafroud, menambah dua ejen keselamatan juga terbunuh.

Kementerian Pertahanan pula berkata, 13 militan dan seorang anggota tentera maut apabila tentera menghalang serangan ke atas berek itu.

Enam militan lagi turut cedera dan ditahan, kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Rachid Bouhoula.

Unit tentera ditempatkan di seluruh bandar dan sekatan jalan raya diadakan.

Saksi berkata, tentera menggunakan pembesar suara menggesa penduduk tidak keluar rumah. - AFP

Berita Harian X