Isnin, 7 March 2016 | 8:46pm

12 syarikat dibatal lesen kerana kes penipuan umrah

TIMBALAN Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - Foto Rasul Azli Samad

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 syarikat pengendali umrah telah dibatalkan lesen pengembaraan luar negeri (outbound) oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) kerana terbabit dalam kes penipuan umrah.

Tindakan keras itu bagi mengekang kes penipuan umrah yang semakin berleluasa.

Statistik terkini MOTAC dari 2012 hingga 2016 menunjukkan 54 kes penipuan pakej umrah direkodkan dengan jumlah denda dan kompaun melebihi RM237,000.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihak kementerian memandang serius kes penipuan umrah yang masih berleluasa.

Katanya, statistik Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) pula menunjukkan 2,161 kes tuntutan pakej umrah dengan nilai kerugian mencecah RM12.7 juta bagi 2012 hingga 2015.

"MOTAC memandang serius isu ini dan kita akan batalkan lesen pihak terbabit," katanya pada sesi engagement Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dengan pengendali umrah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sebentar tadi.

Sesi berkenaan yang menyaksikan hampir 500 wakil syarikat pengendali umrah hadir bagi memberikan maklum balas tentang isu penipuan umrah dan badal haji itu, dikelolakan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU).

Sesi dialog tertutup itu tertumpu kepada pelaksanaan sub-lesen khas umrah yang akan dikuatkuasakan pada tahun depan. Isu penawaran khidmat upah haji serendah RM1,500 turut disentuh wakil agensi pengendali umrah yang hadir.

Berita Harian X