Isnin, 7 March 2016 | 9:27pm
NORA bersama Nedim.

Kek tanpa lilin iringi hari lahir Nora


NORA Danish, dikejutkan dengan sebiji kek tanpa lilin.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nora Danish, dikejutkan dengan sebiji kek tanpa lilin di lokasi penggambaran drama Mak Cun musim terbaharu sempena hari lahirnya yang ke-34, semalam.

Turut hadir meraikan detik indah bersamanya malam tadi ialah lelaki yang dikaitkan dengannya ketika ini, Nedim Nazri, selain teman rapat seperti Betty Rahmad dan Syed Sobrie.

Nora Danish menyambut hari lahirnya yang ke-34 pada hari ini.

"Alhamdulillah, walaupun di set penggambaran dan tiada lilin pada tahun ini, termasuk pisau pemotong daging menggantikan pisau kek, kehadiran anda semua cukup bermakna. Saya amat menghargainya. Pelukan untuk semua," tulis Nora di laman Instagramnya berserta gambar bersama teman-teman.

Pelakon itu turut memuat naik gambarnya bersama anak tersayang, Putra Rayqal, dengan keterangan gambar yang cukup bermakna. Kanak-kanak lelaki berkenaan ialah anak hasil perkongsian hidupnya dengan bekas suami, Rizal Ashram Ramli.


NORA Danish bersama anak tersayang, Putra Rayqal.

"Meraikan tujuh tahun bersama (merujuk kepada usia Rayqal). Dialah kekuatan, menara kebal, bantal dan lagu dodoi saya setiap waktu. Saya ibu berusia 34 tahun yang sangat gembira dan bahagia. Alhamdulillah," tulisnya.

Sementara itu, Nedim turut berkongsi ucapan hari lahir di laman Instagram miliknya.

"Kepada kamu yang satu dan penting dalam hidup saya, Nora Danish... tiada perkataan dapat meluahkan peranan yang kamu mainkan dalam hidup saya.

"Tiada siapa yang lebih tahu diri kamu berbanding saya. Saya cemburu semangat kamu dalam cinta, keluarga, kerja dan Tuhan. Kamu banyak mengubah saya menjadi lebih baik hari ini.

"Terima kasih Tuhan kerana menghantar kamu untuk membimbing saya menjadi Muslim yang lebih baik. Jika kamu jodoh saya dan hadiah paling bermakna daripada Tuhan untuk diri ini, saya berjanji akan terus menyayangi kamu. Saya cintakan kamu. Saya gembira kamu berada di sisi," tulis Nedim.

1090 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »