Selasa, 8 March 2016 | 12:14am

Risiko hakisan pantai

INFOGRAFIK risiko hakisan pantai.

PULAU Perhentian Kecil di Terengganu, Pantai Juara di Pulau Tioman, Pahang dan Tanjung Rhu di Langkawi pernah tersenarai dalam 50 daripada daripada 100 pantai terbaik dunia.

Hasil kajian rangkaian berita antarabangsa CNN beberapa tahun lalu itu menempatkan Pulau Perhentian Kecil, Pantai Juara dan Tanjung Rhu masing-masing pada kedudukan ke-13, 21 dan 49, sekali gus membuktikan negara ini memiliki destinasi menarik untuk dikunjungi.

Keadaan geografi Malaysia yang dikelilingi laut menjadikan negara ini mempunyai pantai yang panjang dianggarkan 4,809 kilometer (km) dan dikategorikan sebagai berpasir, berlumpur dan bertebing curam dengan beraneka garis pantai daripada teluk yang diapit tanjung tinggi berbatu sehinggalah tanah pamah lumpur cetek yang bersempadan hutan bakau.

Di pantai timur Semenanjung, hasil enapan yang tinggi daripada luahan sungai dan persekitaran ombak yang lebih kuat mewujudkan latar untuk garis pantai teluk berpasir berbentuk cangkuk. Sementara di pantai barat, iklim ombak Selat Melaka yang sederhana membentuk pantai lumpur yang luas dan hutan pantai yang kaya dengan biodiversiti.

Bagaimanapun keindahan pantai yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara kini berdepan hakisan semakin serius, sekali gus melenyapkan identiti pantai sebagai lokasi tumpuan.

Hakisan pantai berlaku akibat proses semula jadi yang tidak dapat dielakkan di antara daya semula jadi yang saling bertindak di pesisiran pantai seperti ombak, angin, arus dan pasang surut.

Sebahagian proses hakisan berlaku akibat aktiviti pembangunan di sepanjang pesisiran pantai seperti tebus guna laut, pengorekan, perlombongan pasir laut, penebangan hutan paya bakau dan pembinaan struktur yang mengganggu keseimbangan dinamik pantai.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, negeri yang berhadapan Laut China Selatan seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak berisiko tinggi untuk menghadapi hakisan pantai.

Bagaimanapun, katanya masalah hakisan tidak begitu dirasai di Sabah kerana negeri itu memiliki banyak pulau yang mampu melindungi pantai daripada terhakis.

Hakisan menjadi semakin serius apabila mutakhir ini keadaan cuaca tidak menentu dengan angin dan ribut taufan di Laut China Selatan berlaku sepanjang tahun, sekali gus membawa gelombang dan hujan lebat di pantai Timur Semenanjung dan Sarawak.

"Walaupun Johor berhadapan Laut China Selatan, pesisir pantai negeri itu berbatu dan bertanah liat selain mempunyai kawasan bakau yang masih kekal terpulihara dan keadaan itu mengurangkan risiko hakisan pantai. Keadaan sama boleh dilihat di Pahang apabila pesisiran pantai negeri itu memiliki kawasan bakau dan tepian berbatu yang berupaya memperlahankan ombak.

"Terengganu paling berisiko kerana negeri itu tidak mempunyai kawasan bakau yang banyak seperti di Johor dan Pahang, sebaliknya negeri itu memiliki pantai berpasir yang lebih sensitif kepada hakisan selain ditumbuhi pokok kayu jenis pain," katanya kepada BH.

Info:

  • 2,031 km panjang pantai di Semenanjung
  • 2,778 km panjang pantai di Sabah dan Sarawak
  • Terengganu berdepan masalah hakisan paling serius diikuti Pahang dan Kelantan
  • 405 km pantai di Semenanjung terhakis dengan kos pemulihan RM2.1 bilion
  • 13.7 km pantai di Sabah dan Sarawak dengan kos pemulihan RM1.82 bilion
  • longgokan ketulan batu dan beg pasir bagi memperlahankan hempasan air laut serta dapat melindungi pinggir pantai daripada terhakis
  • bahan-bahan pantai - campuran pasir, kelodak, kulit kerang, kerikil dan singkapan batuan
  • punca hakisan:
  • a) semula jadi - ribut utama semasa air pasang

    b) buatan manusia - pelabuhan, marina, jambatan dan lain-lain

  • langkah tebatan hakisan pantai
  • a) kejuruteraan berstruktur - lapis lindung, benteng hakisan, pemecah ombak, blok konkrit dan tembok pengawal muara

    b) kejuruteraan tanpa struktur - penambakan pasir pantai, penanaman semula bakau, geotekstil tiub dan modul penyamaan tekanan

  • Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar lulus peruntukan segera RM40 juta untuk projek pemuliharaan pesisiran pantai di Terengganu yang dijangka siap sebelum akhir tahun ini. Jumlah itu termasuk RM10 juta untuk Universiti Malaysia Terengganu.
  • 70 peratus penduduk tinggal di kawasan 5 km selari dengan garis pantai

Berita Harian X