Isnin, 18 Ogos 2014 | 6:51pm

Genting beri imbuhan tertinggi kepada pengarah

KUALA LUMPUR: Genting Bhd meneraju senarai 'Highest-paid Directors' tahun lalu apabila lembaga pengarahnya menerima imbuhan berjumlah RM140.9 juta berbanding RM117 juta pada 2012.

Berdasarkan kajian tahunan majalah Malaysian Business, anggota lembaga pengarah Genting yang menerima bayaran tertinggi ialah Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif Tan Sri Lim Kok Thay yang menerima dalam lingkungan RM136.45 juta-RM136.5 juta pada 2013.

Tahun sebelumnya beliau menerima antara RM111.55 juta-RM111.6 juta, kata majalah itu dalam satu kenyataan di sini.

Bagi Genting Malaysia Bhd, anak syarikat Genting Bhd, eksekutif yang menerima imbuhan tertinggi, juga diandaikan Lim oleh majalah itu, membawa pulang antara RM57.4 juta dan RM57.45 juta, berbanding RM48.6 juta hingga RM50 juta yang diterima pada 2012.

IOI Corporation Bhd menduduki tempat ketiga dalam senarai itu dengan Pengerusi Eksekutif Tan Sri Lee Shin Cheng menerima antara RM52.1 juta hingga RM52.15 juta, berbanding RM47.7 juta hingga RM47.74 juta pada tahun sebelumnya.

Melengkapi senarai lima pengarah yang dibayar paling tinggi ialah Naib Pengerusi Eksekutif Tropicana Bhd Tan Sri Tan Chee Sin dan Pengerusi Eksekutif YTL Corporation Bhd Tan Sri Yeoh Liong Lay. - BERNAMA

407 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »