Selasa, 8 March 2016 | 4:52pm
KAKITANGAN Observatori Negara Langkawi (ONL) memasang teleskop sebagai persediaan untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa yang dijadual berlaku esok antara jam 7.33 hingga 9.29 pagi, di pekarangan Sekolah Kebangsaan Sungai Menghulu (SKSM), di Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Ambil peluang saksikan gerhana matahari di Langkawi esok

LANGKAWI: Orang ramai digesa mengambil peluang menyaksikan fenomena gerhana matahari separa yang dijadual berlaku esok antara jam 7.33 hingga 9.29 pagi, di pekarangan Sekolah Kebangsaan Sungai Menghulu (SKSM), di sini.

Ini kerana fenomena itu jarang berlaku dan kali terakhir dilihat ialah pada Januari 2010.

Penolong Pegawai Sains Observatori Negara Langkawi (ONL), Karzaman Ahmad, berkata fenomena unik itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila ia dijangka dapat dilihat dalam tempoh dua jam.

"Hanya gerhana matahari separa yang dapat dilihat di Langkawi esok secara berperingkat mulai jam 7.33 hingga 9.29 pagi, selain beberapa lokasi lain di negara ini.

"Dijangkakan di Langkawi gerhana akan capai maksimum pada jam 8.25 pagi dengan 67 peratus kawasan permukaan matahari akan ditutupi oleh bulan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Karzaman mengetuai empat kakitangan ONL memasang teleskop di pekarangan SKSM di sini, sebagai persediaan untuk orang ramai menyertai aktiviti pencerapan gerhana esok.

Katanya, pihaknya memasang tujuh unit teleskop dengan masing-masing empat unit milik ONL dan tiga di Balai Cerap masjid Al-Ehsan Kampung Temonyong untuk kegunaan orang ramai.

94 dibaca
Berita Harian X