Selasa, 8 March 2016 | 7:10pm

Eksport China menjunam ke paras terendah sejak Mei 2009

BEIJING: Prestasi dagangan China pada bulan Februari adalah lebih buruk daripada dijangkakan ahli ekonomi, dengan eksportnya mencatatkan kemerosotan terbesar dalam tempoh enam tahun.

Data dikeluarkan beberapa hari selepas pemimpin utama republik itu menyatakan ikrar untuk meyakinkan pelabur bahawa tinjauan bagi ekonomi kedua terbesar dunia itu kekal teguh.

Eksport jatuh 25.4 peratus daripada setahun sebelumnya, dua kali ganda daripada unjuran pasaran apabila permintaan merosot dalam semua pasaran utama China.

Import pula susut 13.8 peratus, penurunan buat bulan ke-16 berturut-turut.

Penurunan eksport itu adalah yang terbesar sejak Mei 2009, namun ahli ekonomi berkata ia tidak semestinya menunjukkan suasana ekonomi yang semakin bertambah teruk sebaliknya disebabkan aktiviti perniagaan berkurangan semasa cuti panjang Tahun Baharu Cina pada awal Februari lalu.

Namun, eksport Januari-Februari yang digabungkan jatuh 17.8 peratus manakala import merosot 16.7 peratus, menunjukkan permintaan lemah berterusan di dalam dan luar negara sehingga menjejaskan ekonomi negara dagangan kedua terbesar dunia itu.

"Eksport sangat kukuh pada bulan Februari tahun lalu kerana Tahun Baharu Cina bermula lewat dan kebanyakan daripada gangguan biasa musim perayaan dilanjutkan sehingga bulan Mac. Jadi, kesan berlawanan berkemungkinan akan dapat dilihat dari segi angka lebih kukuh bulan hadapan," kata Ahli Ekonomi China Capital Economics di Singapura, Julian Evans-Prichard.

"Kami menjangkakan eksport keseluruhan kekal lemah, namun tidak melihat bukti yang banyak kemerosotan ketara. Sebagai contoh, tiada kejatuhan mendadak tempahan eksport dalam Indeks Pengurus Belian (PMI) Markit dan ia secara umumnya diselaraskan dengan baik mengikut musim."

Penganalisis yang diambil pendapat oleh Reuters menjangkakan ekport Februari akan jatuh sebanyak 12.5 peratus, dengan import dilihat susut 10.0 peratus.

China mencatatkan lebihan dagangan AS$32.59 bilion (RM132.94 bilion) bagi bulan Februari, susut daripada AS$63.29 bilion (RM258.16) pada bulan Januari, kata Ketua Pengarah Kastam, semalam.

Selepas gagal mencapai sasaran angka dagangan berulang kali beberapa tahun kebelakangan ini, pemimpin China tidak menetapkan anggaran pertumbuhan dagangan bagi 2016 semasa mengumumkan sasaran ekonomi utamanya di Parlimen, Sabtu lalu.

Ia mencerminkan suasana sangat tidak menentu dalam permintaan global.

Menteri Perdagangan, Gao Hucheng, bulan lalu berkata beliau yakin bahawa suasana dagangan China akan menjadi stabil dan bertambah baik tahun ini, walaupun rata-rata penganalisis tidak melihat sebarang peningkatan.

"Penurunan mendadak import juga menjejaskan harapan bahawa China akan melaksanakan pakej rangsangan bagi merangsang permintaan komoditi," kata Ahli Ekonomi Kanan Pasaran Sedang Pesat Membangun Commerzbank di Singapura, Zhou Hao.

"Rali semasa dalam komoditi, diterajui oleh bijih besi mungkin hanya seketika."

Harga spot bijih besi meningkat hampir 20 peratus ke paras tertingginya dalam tempoh lebih lapan bulan kelmarin.

Ia disokong jangkaan bahawa kilang keluli di China merancang meningkatkan output sebelum tindakan keras dikenakan ke atas pencemaran udara. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X