Rabu, 9 March 2016 | 9:29am

Gerhana matahari mungkin bawa petanda kemarau

Hanafiah Abdul Razak

JOHOR BAHRU: Gerhana matahari yang berlaku pagi ini adalah ulangan 21 tahun lalu menyaksikan Johor ketika itu diuji dengan kemarau sehingga menyebabkan wabak penyakit menyerang tanaman dan tumbuhan.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak, Jabatan Mufti Johor, Hanafiah Abdul Razak, berkata pada 24 Oktober 1995 (1416 Hijrah) hari Selasa, jam 12.30 tengah hari (waktu al-Zohirah) gerhana matahari berlaku dengan kadar 70 peratus, manakala bulan yang menghalang cahaya matahari itu berada pada kedudukan titik 'simpul atas'.

Katanya, sekali lagi gerhana matahari berulang hari ini jam 8.23 pagi iaitu waktu Dhuha dengan kadar gerhana 90 peratus, manakala kedudukan bulan yang menghalang cahaya matahari berada pada kedudukan titik 'simpul bawah'.

"Allah berfirman dalam Surah Kaf, ayat lapan yang bermaksud fenomena alam sebagai bukti kekuasaan Allah mengandungi dua nilai iaitu Tabsirah (tuntutan mengambil perhatian) dan Zikra (tuntutan mengambil peringatan).

"Sebagai perhatian, gerhana matahari pada tahun 1995 (1416 Hijrah) menyaksikan Johor diuji dengan kemarau sehingga membawa kepada wabak penyakit yang menyerang tanaman dan tumbuhan.

"Semoga ulangan gerhana matahari 21 tahun ini memberi limpahan hujan yang seragam untuk kesuburan negeri Johor," katanya dalam satu laporan ringkas yang dikeluarkan, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim, ketika dihubungi BH pagi ini berkata, pihaknya maklum berhubung perkara itu dan mengesahkan menerima laporan berkenaan perkara itu daripada Bahagian Falak, Jabatan Mufti Johor.

"Saya juga mendapat maklumat daripada Jabatan Meteorologi mengatakan gerhana matahari yang berlaku menyebabkan peningkatan suhu hingga 2 darjah Celsius selain taburan hujan yang akan berkurangan.

"Rakyat diminta berjaga-jaga dan dinasihatkan jangan terlampau terdedah pada cahaya matahari kerana panas terik yang berlaku kali ini tidak seperti hari biasa.

"Daripada segi wabak penyakit pada tumbuhan hingga kini masih belum ada tanda dan dikenal pasti, tetapi seperti kebiasaan suhu panas yang melampau sememangnya akan menjejas dan merosakkan tanaman berbuah seperti kemarau pada tahun lalu," katanya.

Berita Harian X