Rabu, 9 March 2016 | 10:01am
FENOMENA Gerhana Matahari Separa dirakam dari kawasan Petra Jaya Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Cuaca baik, orang ramai dapat lihat gerhana matahari

KUALA LUMPUR: Gerhana matahari separa yang dapat dilihat bermula 7.24 pagi tadi, menarik perhatian penduduk negara ini yang seawal Subuh menanti kemunculannya.

Gerhana matahari separa hari ini adalah yang pertama berlaku pada abad ke-21 dan fenomena sama kali terakhir berlaku 21 tahun lalu, pada 24 Oktober 1995. Gerhana matahari hari ini berlaku antara jam 7.24 pagi hingga jam 9.30 pagi.


GURU dan murid sekolah teruja melihat melihat gerhana matahari separa menggunakan cermin mata penuras cahaya di perkarangan di Sekolah Kebangsaan Sungai Menghulu, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Di LANGKAWI, keunikan gerhana matahari separa yang berlaku pagi ini menarik perhatian kira-kira 1,000 orang untuk bersama-sama berkumpul melihat kejadian itu di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Menghulu di sini.

Cuaca cerah membolehkan orang ramai termasuk murid sekolah itu membuat pencerapan menggunakan empat teleskop berkuasa tinggi yang disediakan Observatori Negara Langkawi (ONL) sejak awal pagi.

Penolong Pegawai Sains ONL, Karzaman Ahmad, berkata gerhana matahari separa di Langkawi bermula jam 7.33 pagi dan mencapai tahap gerhana maksimum jam 8.25 pagi.


PENGUNJUNG, Nurul Hafidah Mohammad, 24, (kiri) dan Norliyana Mohd Zin, 24, (kanan) menggunakan teleskop untuk mencerap imej gerhana matahari separa di Balai Cerap, Kompleks Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara. Fenomena ini bermula dari 7.23 pagi dan berakhir pada 8.23 pagi. - Foto Khairunisah Lokman

Di MASJID TANAH, lebih 500 pelajar sekolah, kolej dan masyarakat setempat membanjiri Balai Cerap Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara di sini, pagi tadi.

Pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka, Afiq Al Hafiz Azmi, 15, berkata ia adalah pengalaman pertamanya menyaksikan fenomena gerhana matahari secara terus dengan menggunakan cermin mata khas penapis cahaya.

Pegawai Sains Jabatan Mufti Negeri, Nor Nazmi Razali, berkata penduduk di Melaka hanya berpeluang melihat gerhana matahari separa berbanding gerhana matahari penuh di Palembang, Indonesia.

"Sentuhan pertama berlaku iaitu ketika bulan kali pertama berada di salah satu sisi matahari kira-kira lima ke enam minit selepas terbitnya matahari.

"Sentuhan maksimum berlaku kira-kira jam 8.23 pagi iaitu ketika peratusan maksimum matahari akan tertutup dan gerhana matahari separa ini tamat kira-kira sejam lima minit selepas waktu maksimum," katanya.


HAMPIR 200 jemaah mengadakan solat sunat gerhana matahari yang diadakan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Fenomena ini berlaku apabila bumi, bulan dan matahari berada di dalam kedudukan selari dan kali terakhir penduduk Malaysia dapat melihat fenomena Gerhana Matahari Separa ialah pada bulan Januari 2010. - Foto Zaman Huri Isa

Di BACHOK, kira-kira 200 pelajar dan pengunjung Pantai Irama, di sini menyaksikan fenomena gerhana matahari separa bermula jam 7.24 pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Juru ukur Diraja Malaysia Cawangan Pantai Timur, Mohd Fadzli Hashim berkata, fenomena itu berlaku selama dua jam sehingga jam 9.25 pagi.

Katanya, waktu kemuncak berlaku jam 8.26 pagi tadi dengan peratusan 68 peratus matahari ditutupi bulan.


PENDUDUK Kampung Cempaka menunggu untuk melihat fenomena gerhana matahari di tepi pantai Cempaka walaupun keadaan awan menghalang matahari. Fenomena Gerhana Matahari berlaku apabila bumi, bulan dan matahari berada di dalam kedudukan selari. - Foto Luqman Hakim Zubir

Di KUANTAN, seramai 600 guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap di sini menunaikan solat sunat gerhana matahari sebentar tadi.

Solat berkenaan diimamkan oleh guru pendidikan Islam, Amir Izzuddin Salleh.

Selesai solat sunat berkenaan, guru dan pelajar berkumpul untuk melihat fenomena separa gerhana matahari kira-kira jam 8.30 pagi.

Di KUCHING, cuaca baik memberi peluang kepada penduduk negeri ini melihat dengan jelas gerhana matahari, pagi ini.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk merakam fenomena gerhana separa antara 78 peratus hingga 87 peratus yang pertama berlaku pada abad ke-21 itu. 

Di Kuching, gerhana separa itu dapat dilihat pada jam 8.29 pagi tadi, Sibu (8.31), Kapit (8.30), Mukah (8.32) Bintulu (8.33) dan Miri (8.36).

247 dibaca
Berita Harian X