Isnin, 18 Ogos 2014 | 7:18pm

Olimpik Remaja: Detik suku akhir menunggu dua pemain badminton negara

NANJING: Dua pemain badminton negara bakal mengalami nasib berbeza untuk melangkah ke ke suku akhir acara perseorangan lelaki dan wanita pada temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) di sini.

Cheam June Wei, selaku pemain pilihan 3-4, dijangka tidak menghadapi masalah ke suku akhir acara perseorangan lelaki manakala pemain wanita, Lee Ying Ying menghadapi laluan getir dalam perlawanan terakhir kumpulan esok.

Pada perlawanan kedua kumpulan di Gimnasium Institut Sukan, dekat sini, hari ini, June Wei mengalahkan pemain Thailand, Mek Narongrit, 21-14 dan 21-15 pada perlawanan Kumpulan C.

Ying Ying pula turut mencapai kemenangan kedua dalam Kumpulan H apabila mengalahkan pemain Slovenia, Katrina Beton dengan 21-14 dan 21-10 dalam masa 25 minit.

Bagaimanapun pada perlawanan penentuan kumpulan esok, June Wei dijangka muncul juara kumpulan apabila berdepan dengan pemain Turki, Muhammed Ali Kurt manakala Ying Ying terpaksa menentang pemain remaja nombor satu dunia, Bing Jiao He dari China.

Mengikut format pertandingan, hanya juara dari setiap daripada lapan kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Lee mengakui laluan ke suku akhir bukan mudah berikutan kehadiran Bing Jiao dalam kumpulan yang sama.

"Esok saya perlu bermain secara habis-habisan pada tahap maksimum kerana bukan mudah untuk mengatasi pemain China tersebut," katanya.

"Saya akan cuba kurangkan kesilapan kerana hanya sedikit kesilapan sahaja boleh menjejaskan kutipan mata," katanya.

Beliau bagaimanapun optimis untuk terus mengejar pingat emas dalam acara tersebut biarpun ia agak mustahil.

"Impian saya adalah untuk menjadi pemenang pingat emas pertama negara di peringkat Sukan Olimpik nanti dan usaha tersebut perlu dilakukan bermula dari sekarang," katanya.

Ketua kontinjen negara, Wong Pei Tty

melahirkan keyakinan kutipan pingat negara mampu diraih menerusi sukan badminton dan terjun. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X