Khamis, 10 March 2016 | 12:02am
ANTARA hasil tangkapan kaki pancing.
ANTARA hasil tangkapan kaki pancing.

Pancing puyu sawah jadi hidangan

HARIZA memancing puyu menggunakan joran teleskopik.
HARIZA memancing puyu menggunakan joran teleskopik.

KANGAR: Awal pagi lagi Hariza Abd Rashid bersama sepupu dan anak saudaranya sudah merayu di sekitar Kampung Simpang Geti, Mata Ayer untuk mencari keridik atau belalang, sementara adik lelakinya mencari sarang tebuan.

Anak tebuan dan keridik amat sesuai untuk dijadikan umpan mengail puyu atau betuk, lebih-lebih lagi ketika sawah padi mula menghijau kerana ikan berkenaan amat banyak bersembunyi di celah pohon padi.

Kalau dulu mereka menggunakan pancing panjang atau bok kai daripada batang buluh, pinpin atau bemban, tetapi kali ini joran teleskopik moden lebih panjang berbanding tradisional.

Menurut Hariza, waktu petang selepas solat Asar masa paling sesuai untuk memancing puyu kerana cuacanya tidak begitu panas dan sedikit berangin.

"Boleh juga memancing pada waktu pagi, tetapi biasalah orang kampung akan memancing pada waktu petang apabila segala urusan harian selesai. Jadi, sambil berehat ambil angin, kami memancing bersama anak-beranak.

SEBAHAGIAN penduduk Kampung Simpang Geti, Mata Ayer memancing puyu.
SEBAHAGIAN penduduk Kampung Simpang Geti, Mata Ayer memancing puyu.

"Pastinya tali air, parit, sawah padi dan lopak besar menjadi sasaran kami. Bagaimanapun, sebelum turun memancing, kami akan meninjau lubuk-lubuk menarik berdasarkan riak air," katanya.

Beliau berkata, pelbagai umpan digunakan termasuk cacing, keridik dan anak tebuan bagi mengail puyu, semuanya pasti dibaham.

"Namun keridik dan anak tebuan paling berkesan... tidak tahu kenapa, mungkin ikan berkenaan berselera dengan umpan berkenaan. Bukan saja puyu, haruan dan keli turut ambil kesempatan menjamah umpan yang kami hulur.

"Malam itu, kami sekeluarga makan asam pedas ikan puyu dicampur ubi keledek. Jarang sekali kami dapat ikan puyu bersaiz besar, sebesar dua jari orang dewasa kami lepaskan semula kerana musim menuai padi nanti kami akan menggagau ikan lagi," katanya.

Hariza turut mempelawa orang ramai yang berminat memancing puyu atau haruan, supaya datang ke Kampung Simpang Geti dan bersama-sama meredah lumpur sawah padi.

Berita Harian X