Khamis, 10 March 2016 | 3:24pm

Mercedes-Benz Malaysia perkenal C 180, C 300

MERCEDES-BENZ model C 300.

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan dua varian C-Class baharu untuk pasaran Malaysia iaitu C 180 dan C 300 dengan AMG Line bagi memperkukuhkan jenama terkemuka Jerman itu di negara ini.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine, berkata dua varian baharu diperkenalkan itu untuk memenuhi keperluan individu dan meningkatkan akses pilihan pengguna.

"C-Class adalah antara model paling laris kami dengan lebih 4,000 unit berjaya dijual sejak diperkenalkan pada tahun 2014," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Varian C 180 dengan Avantgarde Line, ia dijual pada harga atas jalan termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) tanpa insurans RM228,888, manakala varian C 300 dengan AMG Line RM307,888.

Bagi C 180, ia dilengkapi dengan Avantgarde Line bersama rim aloi 17-inci bagi memperkemaskan tahap sporty dan eksklusif varian itu.

Selain itu, suspensi pula, jurutera Jerman melengkapkan C 180 dengan AGILITY CONTROL dengan sistem redaman terpilih bagi meningkatkan pemanduan dinamik.

Ciri standard bagi C 180, Mercedes-Benz menawarkan transmisi tujuh kelajuan automatik 7G-TRONIC PLUS yang digabungkan ciri keselesaan tinggi dengan tahap pemanduan efisien.

Didatangkan dengan mod transmisi DYNAMIC SELECT, pemandu boleh menukar mod pemanduan kepada "Economy", "Comfort", "Sport", "Sport+" atau "Individual".

Dari segi hiburan pula, C 180 menawarkan Audio 20 dengan pemain cakera padat selain turut menggabungkan sistem multimedia dengan keupayaan internet dan radio, menghubungkan dengan peranti mudah alih menerusi Bluetooth serta sistem navigasi.

Aspek prestasi pula, C 180 adalah model peringkat permulaan kepada keluarga Mercedes-Benz C-Class menampilkan enjin petrol empat silinder 1.6 liter yang menjana kuasa 156 kuasa kuda (hp).

Sementara itu, bagi varian C 300 dengan AMG Line, ia menggunakan enjin 2.0 liter yang menjana 245 hp dan kilasan maksimum 370 Nm dari 1300 kepada 4000 rpm dan kuasa pecutan maksimum seakan kereta sport 250 kilometer sejam.

Berita Harian X