;
Jumaat, 11 March 2016 | 12:04am
MANGSA dera sanggup membiarkan tubuhnya disakiti, didera fizikal dan mental demi mengekalkan ikatan perkahwinan. - Foto hiasan.

Derita bersuamikan kaki pukul


KUALA LUMPUR: Kerana mahu hubungan suami isteri terus termeterai, dia sanggup membiarkan tubuhnya disakiti, didera fizikal dan mental, dicaci, dihina semahunya daripada memikirkan hakikat perceraian sebagai jalan terakhir.

Mahligai yang dibina selama tujuh tahun lamanya akhirnya kecundang, apabila beliau mendapat kekuatan untuk melarikan diri dan melaporkan keganasan rumah tangga kepada pihak berwajib.

Dengan menaiki bas, mangsa dera yang hanya dikenali nama Maria, 36, tekad membawa diri yang ketika itu hamil enam bulan untuk mendapatkan bantuan di Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), sekali gus membawa keluar daripada kemelut penderitaan.

Ibu tunggal kepada tiga cahaya mata yang masing-masing berusia 10, 12 dan 16 tahun ini, pernah cuba membunuh diri kerana memikirkan tiada guna terus hidup, namun Tuhan mahu dia terus hidup.

Meskipun menyedari perbuatan itu salah di sisi Islam, Maria buntu kerana tubuhnya sering diperlakukan dengan kasar, sepak terajang, tanpa sebarang sebab yang jelas, semata-mata menjadi objek melepaskan nafsu amarah.


Datuk Seri Rohani Abdul Karim (kiri) melancarkan Garis Panduan dan Piawaian Tempat Perlindungan bagi Mangsa Keganasan Rumah Tangga. Turut berada di pentas Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Judist St George (dua dari kiri), Pengarah WHO, Sumitra Visvanathan, Timbalan Presiden WHO, Tashia Peterson. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Mengadu di WAO

Meskipun peristiwa didera suami itu berlaku kira-kira 10 tahun lalu, Maria takut untuk bertindak apatah lagi memikirkan melarikan diri kerana beranggapan itu asam garam kehidupan berumah tangga, yang tidak lari daripada disulami pertelingkahan.

"Saya tidak tahu ke mana hendak dituju, kerana dunia saya hanya rumah, di samping dua anak, tambahan pula ketika itu tengah hamil anak ketiga. Untuk kembali ke rumah ibu di Petaling Jaya, Selangor, tentu suami boleh jejak.

"Tidak tahan daripada terus dikasari, saya nekad menghubungi talian WAO apabila pertama kalinya menonton rancangan Wanita Hari Ini (WHI) yang berkongsi mengenai keganasan rumah tangga," katanya.

Beri perlindungan

Maria dan seorang lagi mangsa keganasan, Aida adalah wanita yang dibantu WAO termasuk diberikan perlindungan tempat tinggal sekali gus menyelamatkan diri terus menjadi mangsa dera.

Pengalaman sebagai mangsa keganasan rumah tangga dikongsikan pada majlis pelancaran Garis Panduan dan Tempat Perlindungan Mangsa Dera yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Sime Darby Plantation Tower, Subang, Selangor, baru-baru ini.

Maria yang kini giat menjalankan perniagaan tudung dalam talian, berkata pengalaman yang tidak dilupakan selepas berada di pusat perlindungan WAO ialah ketenangan fikiran, memperoleh tidur lena.

"Keesokan pagi tiada maki hamun sepak terajang suami, malah tidak sesiapa dapat tahu di mana saya tinggal. Di WAO, mereka sangat ramah, malah pengalaman tiga bulan tinggal di sana benar-benar mengembalikan keyakinan, mahir dengan aktiviti yang berupaya menjana pendapatan," katanya.

Katanya, sepanjang ditempatkan di situ, dia mengenali wanita yang teruk nasibnya, di samping pulih dengan sesi kaunseling daripada sukarelawan yang terdiri daripada pekerja sosial.


MANGSA keganasan rumah tangga Hayati (bukan nama sebenar) dan Amirah (bukan nama sebenar) di temubual pada pelancaran Garis Panduan dan Piawaian Tempat Perlindungan Mangsa Keganasan Rumah Tangga. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Derita kisah Aida

Sementara itu, Aida, 31, dari Petaling Jaya, Selangor, kehidupan bersulamkan penderitaan selepas dua tahun mendirikan rumah pada 2006, meskipun mereka berdua adalah pasangan yang ideal yang kaya dengan cinta.

Aida yang mempunyai tiga cahaya mata, namun kematian anak bongsu kerana kemalangan, berkata beliau pernah dua kali ditangkap kerana mengemis di Masjid Negara.

"Saya terpaksa melakukan kerana tiada duit untuk menyara anak, sementara suami pula jenis yang suka mendera, fizikal mental, dari penderaan kewangan. Sepak terajang, hempas tubuh ke dinding dan lantai semua pernah rasai.

"Apabila kali kedua ditangkap oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) anak saya diambil dan ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak di Cheras. Saya pula dinasihatkan menghubungi WAO untuk meminta pertolongan," katanya.

WOA tempat selamat

Aida kemudiannya membuat laporan polis, sebelum dia dibawa merujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk memperoleh laporan rasmi perubatan. Di situ, doktor mengesahkan beliau cedera di kepala, otak dan hati berpunca daripada penderaan fizikal.

"Saya sebenarnya mendapat maklumat mengenai WAO melalui JKM, merasakan begitu dialu-alukan saat tiba di sana, kakitangan ramah, wanita senasib lain juga tidak kekok mengajak saya berbual.

"WAO tempat yang selamat, mudah menyesuaikan diri dan di sana tiada rasa bimbang untuk berlindung di tempat yang baru, malah paling istimewanya tiada siapapun tahu itu pusat perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak," katanya.


LAMAN web Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di www.wao.org.my

Lebih bersemangat dan berani

Ketika ditanyakan mengapa sanggup bertahan meskipun sering didera, Aida berkata, dia buntu, tiada keberanian, menyedari hakikat suami adalah tonggak keluarga.

"Sebenarnya kita tidak tahu hak wanita, takut untuk bertindak dan merasakan suami boleh berubah, menjadi pasangan yang baik apatah lagi selepas bertahun hidup bersama.

"Namun, paling terbaik saya lebih bersemangat, jadi berani dan mula mempunyai penderitaan. Kami bukan saja diberikan kemudahan tempat tinggal dan makan minum, di sini ada pemeriksaan kesihatan, kelas memasak dan menjahit," katanya.

Selepas sebulan pulih dari trauma, Aida kemudian mencari rumah sewa untuk diduduki, namun hubungan WAO tidak pernah putus, pihak berkenaan sering bertanyakan khabar dan memberikan sesi kaunseling.

"Bantuan diberikan kepada anak yang kini berusia tujuh dan lapan tahun, mereka dijadikan anak angkat. Di WAO ada kumpulan WhatsApp, saling bertanyakan khabar dan mengadu masalah," katanya yang semakin cenderung mengambil bahagian dalam program anjuran badan bukan kerajaan (NGO).

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mengumumkan Garis Panduan dan Tempat Perlindungan Mangsa Dera yang dibuat dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Naib Presiden WAO, Tashia Peterson, berkata masalah yang membelenggu pihaknya menyediakan menyediakan pusat perlindungan wanita mencukupi.

"Kemudahan sedia ada hampir penuh, kebanyakan negeri dan bandar tidak ada kemudahan sama kecuali sesetengah NGO menyediakan pusat ini di Lembah Klang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

"Jadi dengan pengenalan Standard Kebangsaan bagi Pusat Perlindungan Keganasan Rumah Tangga, kita berharap dapat menyalurkan pengalaman dan pengetahuan bagi memberi panduan untuk mewujud lebih banyak pusat perlindungan," katanya.


ROHANI menunjukkan buku panduan pada sidang media Garis Panduan dan Piawaian Tempat Perlindungan bagi Mangsa Keganasan Rumah Tangga. - Foto Rohanis Abdul Shukri

43 pusat perlindungan wanita

Katanya, Malaysia buat kali pertama mengemukakan garis panduan untuk melindungi wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

"Garis panduan ini membantu kita membuat rujukan dan penambahbaikan pusat perlindungan sedia ada, sekali gus menyediakan tempat selamat untuk mangsa dera," katanya.

Setakat ini, Malaysia mempunyai 43 pusat perlindungan iaitu dua daripada WAO, tujuh lagi dimiliki NGO, satu Jabatan Wanita dan selebihnya milik KPWKM.

Pada tahun 2014, dianggarkan sembilan peratus wanita Malaysia menjadi mangsa dera suami atau pasangan, dan perangkaan itu semakin menunjukkan peningkatan.

Justeru, keperluan terhadap garis panduan berkenaan penting bagi menyelamatkan lebih ramai mangsa.

300 dibaca
Berita Harian X