Jumaat, 11 March 2016 | 12:16pm

Sekolah Seni di Sabah martabat budaya, tradisi

MUSA (tiga dari kiri) menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia kepada pelajar selepas merasmikan Pelancaran Program Pendidikan Seni Zon Sabah, di Sandakan, hari ini. - Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Sekolah Seni Malaysia (SSeM) di Sabah, iaitu yang keempat di negara ini, mampu memartabatkan keselarasan tradisional rakyat negeri ini yang wujud sejak sekian lama.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata penubuhan sekolah itu Sabah selepas Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak bertepatan pada masanya kerana Sabah bukan saja terkenal dengan keharmonian serta perpaduan rakyat, malahan juga khazanah budaya, tradisi dan kesenian.

Katanya, Sabah kerap menempa kejayaan dalam bidang kesenian yang disertai sekolah luar bandar di peringkat antarabangsa.

‎"Kerajaan sentiasa menggalakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan disuburkan dalam kalangan masyarakat termasuk pelajar.

"Ini membuktikan kerajaan mengambil kira dan prihatin terhadap kecenderungan serta minat golongan muda dalam bidang seni untuk dikembangkan dengan cara lebih bermanfaat," katanya melancarkan Program Pendidikan Seni Zon Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozaimun Ahmad, dan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip.

Pembinaan SSeM Sabah bernilai RM70 juta dimasukkan dalam pusingan kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan kerajaan negeri meluluskan tapak seluas 16 hektar di hab pendidikan Sandakan sebagai tapak pembinaan.

SSeM Sabah mula beroperasi tahun ini di SMK Elopura sebagai sekolah sementara dengan 50 murid dari seluruh Sabah sebagai perintis.

Musa berkata, kerajaan negeri berharap penubuhan sekolah itu mampu memantap, memperluas dan meningkatkan cabang pendidikan di negeri ini bagi melahirkan murid cemerlang, sekali gus berpeluang mempelbagaikan pilihan kerjaya pada masa depan.

Berita Harian X