Jumaat, 11 March 2016 | 12:31pm

Bukan Kerana Aku Tak Cinta bakal difilemkan

Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose

KUALA LUMPUR: Drama Bukan Aku Tak Cinta lakonan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose yang pernah mencipta fenomena tersendiri ketika bersiaran sekitar penghujung 2013 bakal difilemkan.

Menurut Sharnaaz, drama yang diterbitkan syarikat milik Datuk Ziela Jalil itu akan turut menjalani penggambaran di New York selain Malaysia.

"Saya sendiri tak sangka selepas drama ini mendapat sambutan di TV, ia akan diangkat pula ke layar perak. Saya memang teruja dengan perkembangan ini. Insya-Allah penggambaran akan bermula pada Mei nanti.

"Sebagai persediaan, sejak seminggu lalu saya sudah kembali ke gimnasium untuk membentuk badan. Cuma saat ini saya belum tahu jalan cerita untuk versi filem. Bagaimanapun, apabila menjalani penggambaran sampai ke New York barangkali ada sesuatu yang menarik," katanya.

Kali terakhir Sharnaaz dan Nelydia berlakon bersama adalah menerusi drama Setitis Kasih Darmia.

"Saya tiada masalah berlakon dengan Nelydia. Dia antara pelakon yang berbakat. Menerusi drama Setitis Kasih Darmia pun kami pernah dinobatkan sebagai Hero dan Heroin Pilihan pada Drama Festival Kuala Lumpur 2015," katanya.

Ketika drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta bersiaran, babak mesra di antara dua pelakon ini mengundang kontroversi apabila kekasih Nelydia, Qi Razali, kurang senang dengan situasi itu.

Qi dikatakan marah dengan gambar mesra yang dimuat naik Sharnaaz di laman sosial.

Bagaimanapun kes itu berlalu pergi dan diselesaikan dengan baik.

Berita Harian X