Sabtu, 12 March 2016 | 9:54am

MPN serbu 10 rumah urut

BANDAR BARU NILAI: Majlis Perbandaran Nilai (MPN) menyerbu 10 rumah urut dalam operasi bersepadu dua jam yang turut disertai polis dan Jabatan Imigresen di sekitar kawasan ini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MPN, Syamsul Amri Ismail, berkata operasi bermula jam 11 malam itu bertujuan memastikan pengusaha premis mematuhi garis panduan ditetapkan.

"Peraturan baharu MPN menetapkan tidak boleh dibina bilik dalam premis perniagaan itu, sebaliknya hanya boleh memasang tirai sebagai penutup. Tukang urut pula harus memakai pakaian seragam yang sopan.

"Pengusaha yang dikesan tidak mengikut peraturan itu diberi surat amaran dan jika masih melakukan kesalahan sama, akan dikenakan kompaun sehingga RM500 mengikut Undang-Undang Kecil Tred UUK24 Perniagaan dan Perindustrian," katanya.

Dalam operasi itu, Jabatan Imigresen menahan lapan warga asing dari Thailand, Indonesia, Nigeria, Vietnam dan Pakistan berusia lingkungan 20 sehingga 30 kerana tiada dokumen perjalanan serta menetap lebih masa di negara ini.

24 dibaca
Berita Harian X