Ahad, 13 March 2016 | 11:13pm

Wanita melecur terkena minyak panas

GEORGETOWN: Seorang wanita melecur akibat terkena minyak panas selepas dapur rumahnya terbakar ketika mangsa sedang memasak rumahnya di sini, sebentar tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 malam di sebuah rumah di Mutiara Idaman 1 di Solok Tengku di sini, dipercayai berpunca daripada kebocoran pada tong gas memasak.

Berdasarkan maklumat, mangsa dikatakan melecur kira-kira 30 peratus anggota badan selepas kepala, badan, tangan dan kakinya terkena minyak masak panas ketika kebakaran berlaku.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 8.55 malam sebelum satu jentera dengan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kita dapati bahagian dapur sebuah rumah terbakar dengan api ketika itu sudah dipadamkan suami kepada wanita yang didapati melecur.

"Kita kemudian terus mengambil tindakan memastikan api padam sepenuhnya dan tong gas yang mengalami kebocoran kemudian dipindahkan ke ruang terbuka.

"Mangsa yang melecur kira-kira 30 peratus anggota badan itu kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X