Isnin, 14 March 2016 | 10:54am

Polis buru suspek pecah rumah di Subang Jaya

TIMBALAN Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Lee Swee Meng menunjukkan keadaan kenderaan polis yang rosak dan kereta suspek yang ditinggalkan di tepi jalan USJ11 selepas dikejar polis dalam kejadian pagi tadi.

SUBANG JAYA: Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di kawasan USJ13, di sini yang melarikan diri tanpa mempedulikan tembakan amaran dilepaskan oleh anggota pihak berkuasa itu, sebentar tadi.

Lelaki berusia lingkungan 30-an berkenaan sebelum itu meninggalkan kenderaannya di tepi jalan dan dipercayai lari ke arah kawasan perumahan USJ11 selepas dikejar hampir dua kilometer oleh anggota Unit Peronda Polis (MPV).

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Lee Swee Meng, berkata pihaknya sebelum itu menerima maklumat daripada seorang wanita memaklumkan melihat sebuah Perodua Myvi tidak dikenali diletakkan dalam kawasan sebuah rumah.

"Anggota MPV yang bergegas ke lokasi cuba menghalang kereta itu, namun suspek terus mengundurkan keretanya dan melanggar kenderaan polis.

"Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta itu sebagai amaran, namun suspek terus memecut dan selepas dikejar hampir dua kilometer, dia berhenti dan meninggalkan keretanya di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan USJ 11 sebelum melarikan diri," katanya ketika ditemui, sebentar tadi.

ANGGOTA forensik memeriksa kenderaan ditinggalkan suspek yang melarikan diri ketika dikejar anggota polis dalam kejadian di USJ11 pagi tadi.

Berita Harian X