Selasa, 15 March 2016 | 12:02am

Jin Wei bercita-cita ke pentas olimpik

KUALA LUMPUR: Tujuan sebenar pasangan suami isteri, Goh Boon Huat dan Loh Bee Sim, menghantar anak mereka bermain badminton hanya untuk bersukan.

Malah, tidak pernah berniat untuk menjadikan anak itu sebagai seorang pemain badminton profesional suatu hari nanti.

Apapun, selepas beberapa kali bermain dan beraksi dalam acara perseorangan, Goh Jin Wei, yang ketika itu baharu berusia enam tahun sudah menunjukkan kebolehan dan skil luar biasanya.

"Saya dan suami, Boon Huat, macam biasalah seperti orang lain, hantar anak-anak untuk bersukan. Pada masa itu kami hantar Jin Wei dengan kakaknya, Goh Jin Mei, bermain badminton di Bukit Mertajam.

GOH Jin Wei bersama ibu dan bapanya, Goh Boon Huat dan Loh Bee Sim. - Foto Osman Adnan
GOH Jin Wei bersama ibu dan bapanya, Goh Boon Huat dan Loh Bee Sim. - Foto Osman Adnan

"Lepas beberapa kali latihan, jurulatih Teh Beng Huat yang mengajarnya dan pernah melatih bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, kata anak saya ada bakat untuk bermain badminton," imbas Bee Sim, ketika ditemui.

Sepanjang pembabitannya bersama skuad Bawah 14 dan 15 tahun kebangsaan, pelbagai kejayaan diraih Jin Wei, termasuklah tempat ketiga Cabaran Antarabangsa Indonesia 2014, selain pingat emas perseorangan wanita di Sukan Malaysia (SUKMA), Perlis

Sejak itu Boon Huat dan Bee Sim membenarkan Jin Wei terus berlatih di bawah kendalian Beng Huat sehingga seawal usia tujuh tahun anaknya sudah mula menyertai pertandingan. Lebih manis dalam penampilan pertamanya, Jin Wei meraih gelaran juara.

"Selepas kejayaan itu kami percaya dia boleh pergi jauh. Semakin hari, semakin bagus dan dia mula diserap dalam pasukan negeri Pulau Pinang," katanya menceritakan mengenai kejayaan awal anak bongsu daripada dua beradik itu.

PEMAIN badminton kebangsaan, Goh Jin Wei. - Foto Owee Ah Chun
PEMAIN badminton kebangsaan, Goh Jin Wei. - Foto Owee Ah Chun

Rentetan kecemerlangan itu, membolehkan Jin Wei diserap membarisi skuad badminton kebangsaan.

Sebagai seorang ibu yang melahirkan dan membesarkan anak, Bee Sim berharap Jin Wei mampu melakar kejayaan di persada dunia sekali gus mengharumkan nama keluarga dan negara.

Malah, demi masa depan lebih gemilang, keluarga itu berpindah dari Bukit Mertajam ke Mont Kiara kerana ingin memudahkan anaknya menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

"Saya harap dia terus maju dan mencapai tahap tertinggi seperti Chong Wei. Saya percaya dia boleh mencapai impian untuk menjadi pemain wanita nombor satu dunia satu hari nanti," katanya yang akan terus memberi sokongan kepada anak kesayangannya itu menggapai cita-citanya.

GOH Jin Wei ketika beraksi menentang pemain Indonesia, Ramadini Hanna pada separuh akhir Sukan SEA 2015 di Stadium Tertutup Singapura. - Foto Hairul Anuar Abd Rahi,
GOH Jin Wei ketika beraksi menentang pemain Indonesia, Ramadini Hanna pada separuh akhir Sukan SEA 2015 di Stadium Tertutup Singapura. - Foto Hairul Anuar Abd Rahi,

Sementara itu, memenangi pingat emas di pentas terbesar dunia, Sukan Olimpik, menjadi sasaran dan impian Goh Jin Wei sejak membabitkan diri dalam arena badminton negara.

Pemain perseorangan wanita kebangsaan itu turut mengejar gelaran juara dunia, apatah lagi, dalam sejarah belum ada pemain wanita negara yang memenangi kedua-dua kejohanan utama itu.

"Apa yang perlu dibuat sekarang adalah berlatih bersungguh-sungguh. Saya juga perlu banyak menyertai kejohanan bagi menimba pengalaman dan mematangkan corak permainan saya," katanya.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Jin Wei berkata, dia perlu bijak membahagikan masa untuk bersukan dan akademik kerana kedua-duanya amat penting untuk masa depan yang lebih gemilang.

JIN Wei bijak membahagikan masa untuk bersukan dan akademik kerana kedua-duanya amat penting untuk masa depan yang lebih gemilang. - Foto Owee Ah Chun
JIN Wei bijak membahagikan masa untuk bersukan dan akademik kerana kedua-duanya amat penting untuk masa depan yang lebih gemilang. - Foto Owee Ah Chun

"Pada jam 6 hingga 7 pagi saya akan berlatih di Bukit Jalil, kemudian akan menghadiri kelas pada jam 8.30 pagi hingga 2.30 petang. Pukul 3.30 hingga 6 petang saya akan sambung balik latihan di Bukit Kiara.

"Kemudian pada waktu malam saya akan mengulangkaji pelajaran dengan bantuan ibu, bapa dan juga tutor persendirian, ataupun pergi ke gimnasium," katanya.

INFO

Biodata

  • Nama penuh: Goh Jin Wei
  • Tarikh lahir: 30 Januari 2000
  • Tempat lahir: Bukit Mertajam Pulau Pinang
  • Berat: 52 kilogram (kg)
  • Nama ibu bapa: Goh Boon Huat dan Loh Bee Sim
  • Bidang sukan: Pemain perseorangan negara

Pendidikan

  • Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jit Sin `B', Bukit Mertajam, Pulau Pinang
  • Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Hartamas, Kuala Lumpur

    Pencapaian

2014

  • Kejohanan Badminton Remaja Asia Bawah 18, Taipei Taiwan
  • Kedudukan 32 terbaik perseorangan
  • Suku Akhir acara berpasukan
  • Kejohanan Remaja Dunia Bawah 18, Kedah ( Kedudukan 16 terbaik)
  • Suku akhir acara berpasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Kuala Lumpur
  • Johan perseorangan wanita bawah 15
  • Johan beregu wanita bawah 15 Cabaran Antarabangsa Indonesia, Indonesia
  • Separuh akhir perseorangan Cabaran Antarabangsa Singapura, Singapura
  • Pusingan kedua perseorangan (mengalami kecederaan hamstring)
  • Johan perseorangan wanita bawah 21 tahun Sukan Malaysia (SUKMA), Perlis

2013

  • Kejohanan Badminton Pulau Pinang
  • Johan perseorangan wanita bawah 16
  • Johan beregu wanita bawah 16
  • Johan perseorangan wanita bawah 13 Terbuka Thailand
  • Sirkit Kebangsaan Akhir (GP Akhir), Pahang
  • Johan perseorangan wanita bawah 14 -Johan beregu wanita bawah 14

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X