Selasa, 15 March 2016 | 2:16pm

Puteri Aishah berdebar jumpa Remy Ishak

REMY Ishak (kiri) sebagai Cindua Mato bersama Puteri Aishah Sulaiman (Puti Bongsu) di pra tonton teater Randai Cindui Mato, Istana Budaya. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Pertama kali beraksi di pentas teater, finalis Dewi Remaja 2014/2015, Puteri Aishah Sulaiman, 22, mengakui gementar membawa watak Poti Bongsu dalam teater muzikal randai, Cindua Mato.

Apatah lagi dalam projek itu, Puteri Aishah berdepan aktor popular, Remy Ishak yang membawa watak utama sebagai Cindua Mato.

"Saya tak mampu sembunyikan rasa takut dan gementar untuk beraksi di pentas teater. Gelanggang teater berbeza dengan medium drama atau filem.

"Tapi saya sahut cabaran dan kepercayaan yang diamanahkan demi mencari pendedahan dan pengalaman baharu," katanya kepada BH Online.

Teater Cindua Mato membariskan pelakon hebat seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Azhan Rani.

Teater muzikal berteras budaya masyarakat Minangkabau ini dihasilkan atas inisiatif Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Istana Budaya. Ia akan dipentaskan selama tiga hari mulai 25 Mac depan.

Puteri Aishah mengaku setiap kali berlatih, dia merasakan tanggungjawab besar terpikul di bahu.

GANDINGAN Azhan Rani sebagai Dang Tuanku (kiri), Puteri Aishah Sulaiman sebagai Poti Bongsu dan Remy Ishak sebagai Cindua Mato dalam teater muzikal randai, Cindua Mato. - Foto Rohanis Shukri

"Teater ini dipentaskan secara langsung, silap percaturan kesalahan akan jelas ternampak. Saya kena sedar ruang di pentas dan pernafasan perlu dijaga untuk lontaran vokal.

"Saya mengaku kekok dan kurang mahir berteater. Mujur produksi dan pelakon lain banyak memberi sokongan," katanya.

Puteri Aishah berkata, dia melakonkan banyak babak bersama Remy.

"Remy juga sangat profesional dan banyak membantu mencipta keserasian bersama.

"Apatah lagi kami perlu 'bercinta' dalam teater ini. Bagi adegan romantik, saya cuba wujudkan keselesaan tanpa sebarang tekanan," kata gadis kelahiran Johor yang dibesarkan di Negeri Sembilan ini.

Lakon watak puteri raja

Mengenai watak Poti Bongsu, Puteri Aishah mengaku tanggungjawab menghidupkan watak itu bukanlah mudah.

"Watak Poti Bongsu tampak kecil tapi sangat berat untuk diterjemah. Saya perlu memastikan pergerakan dan lemah gemalai seperti puteri raja.

"Saya perlu beraksi seperti puteri raja biarpun ketika berjalan, bertutur dan bermain emosi," katanya.

Peminat yang mahu menyaksikan teater muzikal Cindua Mato boleh mendapatkan tiket berharga serendah RM25 dengan melayari www.airasiaredtix.com.

Tiket juga dijual di kaunter tiket Istana Budaya; gedung Rock Corner di The Garden, Mid Valley, Suria KLCC, Subang Parade dan The Curve serta Victoria Music di Sungai Wang, Amcorp Mall dan Tropicana.

Berita Harian X