Selasa, 15 March 2016 | 2:41pm

ECER terus catat peningkatan pelaburan

KUALA LUMPUR: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan bernilai RM85.7 bilion dari 2007 hingga Februari 2016, yang mana menyaksikan peningkatan pelaburan dua angka sejak 2013 meskipun berdepan persekitaran mencabar.

Pada tahun lalu, ECER memperoleh pelaburan bernilai RM12.5 bilion, sekali gus mengekalkan corak aliran pelaburan positif yang dicapai pada 2013 dan 2014, iaitu masing-masing bernilai RM11.8 bilion dan RM15.7 bilion.

Jumlah pelaburan yang diperoleh setakat ini adalah 77.9 peratus daripada jumlah keseluruhan RM110 bilion yang disasarkan di ECER menjelang 2020.

Ia dijangka mewujudkan 92,800 peluang pekerjaan, hampir separuh daripada 200,000 pekerjaan yang disasarkan menjelang 2020.

Jumlah pelaburan yang diperoleh itu juga adalah 14 kali kadar pulangan yang berjaya dihasilkan daripada pelaburan kerajaan berjumlah RM6.0 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dan Rancangan Malaysia Ke-10.

"Projek dan program yang dilaksanakan oleh ECERDC telah berjaya membangunkan wilayah ini dan mengurangkan jurang yang wujud di antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar di ECER, iaitu dari segi pendapatan isi rumah dan kualiti hidup. Ini adalah perkembangan yang amat penting dan bermakna," kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat ECERDC yang pertama bagi tahun 2016, di Menara Parlimen, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi ECERDC.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hampir 48 peratus pelaburan di ECER tertumpu di Zon Ekonomi Khas ECER (ECER-SEZ), yang berperanan sebagai Pintu Masuk Pelaburan bagi wilayah berkenaan.

Zon itu yang meliputi enam peratus daripada keseluruhan kawasan ECER, menempatkan pelaburan berimpak tinggi dan adalah lokasi bagi enam daripada sembilan taman perindustrian ECER termasuk Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Taman Biopolimer Kertih yang telah melepasi sasaran pelaburan masing-masing.

Sementara itu, syarikat Bumiputera [email protected] kini muncul sebagai penyumbang besar kepada pelaburan langsung domestik (DDI) di wilayah itu.

Daripada keseluruhan projek bernilai RM67.3 bilion yang diluluskan antara 2007 dan Februari 2016, 22 peratus atau RM14.8 bilion adalah pelaburan syarikat [email protected].

Sebagai langkah galakan, ECERDC menawarkan pakej insentif khas dan/atau geran daripada Dana Mudahcara Teraju di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pada tahun lalu, ECER adalah koridor pembangunan ekonomi yang menerima peruntukan paling tinggi daripada Dana Mudahcara Teraju - iaitu berjumlah RM189.5 juta untuk 76 projek yang nilai pelaburannya berjumlah RM1.49 bilion.

Pada masa yang sama, ECERDC telah mewujudkan kerjasama dengan pelabur bagi melaksanakan program latihan sambil bekerja untuk graduan menganggur, iaitu Program Pemerkasaan Bakat ECER (ETEP), sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan keupayaan untuk memenuhi keperluan pelabur dan juga untuk menangani masalah pengangguran di kalangan graduan di wilayah berkenaan.

"Sejak dilancarkan pada 2014, ETEP telah berjaya melatih 190 pekerja mahir melalui kerjasama dengan Hicom Automotive dan Kaneka Corporation di Kuantan.

"Semua pelatih ditawarkan pekerjaan tetap oleh pelabur selepas tamat latihan. Kejayaan ETEP mendorong kami untuk memperkembangkan program ini ke kawasan lain di ECER. Kini, kami sedang berbincang dengan 15 pelabur untuk melatih 531 peserta ETEP," kata Jebasingam.

Beliau berkata, bagi tahun ini, ECERDC akan memberi fokus kepada misi penggalakan pelaburan untuk Taman Teknologi Pahang, Taman Bio Bersepadu Kuantan, Taman Halal Pasir Mas dan Taman Halal Gambang.

Berita Harian X