Rabu, 16 March 2016 | 12:51pm

Raja Ilya nekad habiskan penggambaran biarpun sakit


PELAKON, Raja Ilya . - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Penghayatan aktres berwajah Bollywood, Raja Ilya dalam apa juga watak yang diberikan kepadanya, sudah tidak perlu dipertikaikan lagi.

Dalam kalangan penggiat industri, ramai mengakui kesungguhan dan komitmen pemenang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2015 (ASK2015) ini dalam menjayakan penggambaran drama mahupun filem.

Terbaharu, disebabkan terlalu komited, Raja Ilya mengalami jangkitan paru-paru yang disahkan doktor berpunca daripada tekanan dan pembawakan karakter lakonannya dalam drama Cinta Masam Manis yang sedang menjalani penggambaran.

Namun, Raja Ilya nekad mahu meneruskan baki penggambaran biarpun sudah disahkan mengalami jangkitan paru-paru yang memerlukan dia berehat.

Menceritakan watak lakonannya, Raja Ilya memberitahu BH Online, dia melakonkan watak wanita psiko dan antagonis yang menuntutnya mendalami karektor hingga terbawa-bawa di luar set.

"Watak saya kali ini memang mencabar keupayaan. Saya curahkan segala fokus bagi menghidupkannya. Beberapa hari lalu, doktor meminta saya mengawal diri dan menjaga kesihatan. Namun, ini bukan alasan untuk saya berundur," katanya.

Badan jadi menggeletar

Raja Ilya berkata, dia mula rasa tidak 'sedap badan' selepas 20 hari penggambaran bermula.

Bintang filem Suamiku Encik Perfect 10 ini berkata, dia tidak menyangka kesungguhan menghidupkan watak memberi kesan kepada kesihatannya.

"Watak yang saya 'bawa' kali ini memang dahsyat...Ibarat 'lunyai' hari-hari. Watak ini cukup psiko seperti dalam siri Gone Girl.

"Setiap kali selepas pengarah menjerit 'cut', saya akan tarik nafas panjang. Serentak itu, badan jadi menggeletar sebelum kembali tenang," katanya.

Raja Ilya berkata, dia tidak akan mengalah biarpun berdepan masalah kesihatan dan mahu meneruskan baki penggambaran.

Baginya, semua ini adalah asam garam dan proses pembelajaran untuk memantapkan lagi lakonannya.

"Saya tahu ini cabaran. Saya sahut dan memberikan sebaik mungkin," katanya.

Drama Cinta Masam Manis akan menemui penonton di slot Akasia, siaran TV3, tidak lama lagi.

Berita Harian X