Rabu, 16 March 2016 | 9:09pm

Tiada kes culik di HTJ


GAMBAR yang tersebar di laman sosial susulan dakwaan kes culik yang melibatkan seorang kanak-kanak di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS). - Foto ihsan pembaca

SEREMBAN: Polis menafikan kejadian culik berlaku berhampiran hentian bas di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, yang turut menjadi viral dalam laman sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata kejadian sebenar ialah perselisihan faham membabitkan seorang lelaki dan isterinya yang tinggal di bandar ini, tetapi wanita berkenaan mahu pulang ke kampungnya di Labu dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, katanya lelaki terbabit tidak bersetuju dengan tindakan isterinya lalu melarikan anak tirinya yang berusia kira-kira tiga tahun itu ke HTJ.

"Wanita itu mengejar suaminya dan meminta bantuan orang ramai di HTJ jika ternampak anak lelakinya. Seorang pengawal keselamatan yang ternampak kanak-kanak itu mengambilnya dan diserahkan semula kepada wanita itu, manakala suaminya terus menghilangkan diri," katanya di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, wanita itu kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan mendakwa suaminya pernah memukul anaknya.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam lama pada badan kanak-kanak itu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan usaha juga sedang dilakukan untuk mengesan lelaki terbabit," katanya.

Beliau menasihat orang ramai supaya tidak terlalu mudah menyebarkan sesuatu berita tanpa mengetahui fakta sebenar.

"Tindakan menyebar berita palsu juga boleh menimbulkan suasana kurang tenteram di kalangan masyarakat," katanya yang menyatakan polis akan menyiasat pihak yang menyebarkan viral palsu itu.

Berita Harian X