Khamis, 17 March 2016 | 11:11am

MPC cadang Sukan Sea, Paralimpik jadi Sukan ASEAN

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) mencadangkan supaya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 yang dijadual berlangsung pada Ogos 2017 di Malaysia, digabungkan dan dikenali sebagai Sukan ASEAN 2017.

MPC yang diketuai Presidennya SM Nasaruddin SM Nasimuddin, disertai Timbalan Presiden, Ng Keng Chuan dan Naib Presiden, Jason Lo, mengemukakan kertas cadangan itu untuk dipertimbangkan kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Putrajaya, hari ini.

"Ini bererti atlet dari kedua-dua pihak itu akan bertanding dalam acara sukan masing-masing pada masa yang sama, hingga menghasilkan pengalaman Sukan ASEAN yang benar-benar bersatu," kata SM Nasaruddin dalam kenyataan yang dikeluarkan MPC.

Lo pula percaya gabungan kedua-dua temasya sukan itu akan mampu menarik lebih ramai penonton untuk memberi sokongan kepada atlet paralimpik dan atlet normal Malaysia.

Beliau menarik perhatian bahawa cadangan itu adalah sebahagian daripada peranan mereka untuk memberi sokongan yang saksama dan sewajarnya kepada atlet paralimpik, sebagaimana diberikan kepada atlet normal negara, pada acara sukan antarabangsa. - BERNAMA

Berita Harian X