Jumaat, 24 Oktober 2014 | 6:18pm

Konsortium Fluor-Technip raih kontrak kedua di RAPID, Pengerang

KUALA LUMPUR: Fluor Corporation menerusi usaha sama dengan Technip meraih kontrak pengurusan kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan bagi projek Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan dan Petrokimia PETRONAS (RAPID) Pengerang, Johor.

Menerusi kontrak itu yang diterima daripada PRPC Utilities and Facilities Sdn Bhd, konsortium Fluor dan Technip akan bertanggungjawab bagi skop kerja utiliti, penyambungan dan di luar tapak.

PRPC Utilities and Facilities ialah anak syarikat PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd (PRPC), yang juga syarikat di bawah naungan kumpulan PETRONAS.

Presiden Perniagaan Tenaga & Kimia Fluor Asia, Ken Choudhary, berkata pihaknya berbesar hati dengan keyakinan PRPC memberikan kerja tambahan di projek RAPID.

"Projek RAPID akan memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

RAPID yang dianggar membabitkan pembangunan bernilai AS$27 bilion (RM88.5 bilion) adalah sebahagian daripada pembangunan mega Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

PIPC merangkumi RAPID dan kemudahan yang berkaitan dengannya termasuk kilang penjanaan bersama Pengerang, terminal gas asli cecair (LNG), unit pengasingan udara, projek bekalan air mentah serta kemudahan sampingan yang lain.

RAPID akan terdiri daripada kilang penapisan 300,000 tong sehari dan kompleks petrokimia yang mempunyai keupayaan gabungan 7.7 juta tan metrik setahun bagi pelbagai gred produk, termasuk produk kimia berbeza dan khusus.

Kilang penapisan RAPID dijangka memulakan operasi pada awal 2019.

Konsortium Fluor-Technip sebelum ini mendapat kontrak Program Perundingan Pengurusan bagi projek RAPID pada Disember 2013.

Fluor Corporation yang disenaraikan di Bursa Saham New York adalah sebuah firma kejuruteraan dan pembinaan bertaraf global yang mereka bentuk dan membina beberapa projek paling kompleks di dunia.

Beribu pejabat di Irving, Texas, Fluor menduduki tangga ke-109 dalam senarai FORTUNE 500.

Berita Harian X