Khamis, 17 March 2016 | 2:23pm

6 agensi sertai operasi bersepadu

SEREMBAN: Sebanyak 118 kenderaan yang melalui Jalan Lingkaran Tengah di sini malam tadi, memasuki 'perangkap' Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Operasi bersepadu disertai 112 kakitangan JPJ dan lima agensi kerajaan lain merangkumi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis.

Jalan bertingkat empat lorong itu menyebabkan semua kenderaan tidak boleh berpatah balik dan terpaksa melalui pemeriksaan.

Pengarah JPJ negeri, Azrin Borhan, berkata operasi yang bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam tadi, bertujuan memastikan setiap kenderaan mematuhi pelbagai peraturan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, sekali gus selamat berada di jalan raya.

Selain itu, katanya, pelbagai kesalahan berkaitan agensi kerajaan yang menyertai operasi itu turut diambil tindakan.

"Sebanyak 445 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 118 kenderaan didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti cermin gelap serta nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, AADK menahan enam penunggang motosikal kerana didapati positif dadah, manakala Jabatan Imigresen menahan dua warga asing, iaitu masing-masing rakyat Indonesia dan Filipina kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Katanya, JAS pula menahan lima buah motosikal kerana mengeluarkan bunyi bising melebihi had manakala polis mengeluarkan 35 saman atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen memandu dan insurans kenderaan tamat tempoh.

"JPJ akan meneruskan operasi manakala operasi bersepadu yang disertai oleh pelbagai agensi kerajaan akan diadakan sekurang-kurangnya sekali sebulan," katanya.

Berita Harian X