Khamis, 17 March 2016 | 4:57pm

Khairy kecewa pembatalan TOS 2016

KHAIRY Jamaluddin. - Foto Yazit Razali

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui kecewa dengan pembatalan penganjuran jelajah berbasikal di Bumi Kenyalang - Tour of Sarawak (TOS) 2016.

Katanya, dia sudah meminta pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk meneliti perkara itu dan sekali gus membayangkan penganjur perlumbaan terbabit boleh disenaraikan hitamkan.

"Saya sudah meminta Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk menyemak Akta Pembangunan Sukan tentang tindakan yang boleh dikenakan kepada penganjur terbabit.

"Yang penting sekali perkara ini tak berulang pada masa akan datang.

"Kita akan ambil apa saja tindakan supaya penganjur sukan tahu kuasa Pejabat Pesuruhjaya Sukan tidak boleh diambil ringan terhadap mana-mana penganjuran sukan yang tak berjaya," katanya selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pembatalan penganjuran TOS 2016.

Perlumbaan itu yang dianjurkan Fadz Industries sepatutnya berlangsung di Sarawak dalam lima peringkat bermula semalam.

Namun penganjur dikatakan tidak mempunyai dana yang mencukupi dan memaksa pembatalan perlumbaan biarpun pasukan sudah tiba di Miri.

"Saya sudah memaklumkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan bahawa syarikat ini dan individu terbabit dalam syarikat itu boleh disenarai hitam secara pentadbiran supaya lesen tidak diberikan kepada mereka untuk tempoh masa yang akan ditetapkan," katanya.

Berita Harian X