Khamis, 17 March 2016 | 5:07pm
PELAKON, Azrel Ismail. - Foto Aziah Azmee

Azrel ganti Ungku Ismail dalam Mak Cun 2


AZREL Ismail akan memegang watak Haidar. - Foto Rohanis Abdul Shukri

KUALA LUMPUR: Bakat baharu yang semakin mendapat tempat di persada seni tanah air, Azrel Ismail, bakal muncul dalam musim kedua drama Mak Cun yang dijangka menemui penonton TV3 pada penghujung April.

Beliau akan memegang watak Haidar, yang pernah dilakonkan oleh Ungku Ismail Aziz menerusi versi teater muzikal drama itu, yang dipentaskan di Istana Budaya, November tahun lalu.

Menurut pelakon berusia 31 tahun dari Taiping, Perak itu, beliau sebenarnya sudah beberapa kali disunting pengarah yang juga pelakon siri berkenaan, Erma Fatima. Bagaimanapun beliau terpaksa menolaknya dengan baik berikutan sudah terikat dengan komitmen kerja seni lain.

"Sejak tahun lalu lagi Kak Erma ingin menawarkan saya watak untuk drama dan teater arahannya itu. Bagaimanapun, waktu itu saya terikat dengan penggambaran lain. Ikutkan hati, saya memang teringin berlakon di bawah arahannya.


AZREL Ismail. - Foto Rohanis Abdul Shukri

"Alhamdulillah, rezeki saya untuk berlakon dalam Mak Cun tercapai juga. Dalam musim kedua ini, saya memegang watak pegawai MARA yang membantu usahawan, termasuk di kampung yang didiami beberapa watak dalam drama ini.

"Jika ada peminat yang menonton versi teater Mak Cun tidak lama dulu, mereka pasti mengingati watak Zeenat Manisah lakonan Datin Seri Umie Aida yang menyukai Haidar (Ungku Ismail). Bagi musim kedua ini, plot sama dipanjangkan lagi. Cuma kali ini Zeenat Manisah hendak mengurat saya pula," kata Azrel yang juga calon awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29.

Kata Azrel, beliau baru saja pulang dari Sungai Petani, Kedah, semalam, kerana melunaskan penggambaran membabitkan watak berkenaan, selepas empat hari berada di negeri itu.

Berita Harian X