Khamis, 17 March 2016 | 6:30pm

2 syarikat guna perisian tiruan diserbu

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesan dua syarikat yang menggunakan perisian komputer cetak rompak, Isnin lalu.

Syarikat tempatan dan luar negara masing-masing pembekal komponen alatan dapur dan industri yang beroperasi di sini itu, dikesan dalam dua serbuan serentak hasil kerjasama Gabungan Perisian Perniagaan (BSA) yang menerima aduan berhubung penggunaan perisian cetak rompak di syarikat terbabit.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub, berkata dalam serbuan bersama wakil BSA itu, beberapa peralatan komputer dan perisian cetak rompak bernilai RM242,800 dirampas.

Dalam serbuan pertama pada jam 1.40 tengah hari, katanya, KPDNKK merampas tiga komputer dan enam salinan pelanggaran perisian komputer dipercayai tiruan.

"Serbuan kedua yang dijalankan serentak oleh pasukan lain, kami merampas tiga unit komputer dengan 16 salinan pelanggaran perisian komputer di premis berkenaan.

"Antara perisian dirampas adalah Adobe, Autodesk, CNC dan Microsoft.

"Keterangan turut diambil daripada beberapa pekerja kedua-dua syarikat itu untuk membantu siasatan ketika serbuan dilakukan," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahyuddin, dan Pengarah Kanan Program Pematuhan BSA, Roland Chan.

Abdul Rosik berkata, kes disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan dan minimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Sejak awal tahun, empat serbuan dilaksanakan dengan nilai rampasan RM527,300 membabitkan 12 komputer dan 56 salinan perisian cetak rompak.

"KPDNKK akan terus memantau penggunaan perisian tiruan dengan kerjasama BSA dalam usaha membanteras kegiatan terbabit walaupun Selangor mencatat rampasan tertinggi tahun lalu dengan nilai RM5 juta," katanya.

Berita Harian X