Jumaat, 18 March 2016 | 8:27am

Nasib berbeza 3 kelab Inggeris di Liga Europa

>

PEMAIN Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang meraikan jaringan keduanya dalam perlawanan menentang Toteenham Hotspur di White Heart Lane, awal pagi tadi. - Foto EPA

LONDON: Nasib berbeza dialami tiga kelab England dalam saingan Liga Europa malam tadi apabila menyaksikan hanya Liverpool mara ke peringkat suku akhir.

Liverpool berjaya mencatat keputusan seri 1-1 dengan musuh tradisi, Manchester United, sekali gus mara ke kelompok lapan terbaik dengan agregat 3-1.

Philippe Coutinho menjaringkan gol penyamaan dalam aksi kedua di Old Trafford selepas Anthony Martial membuka tirai jaringan buat United menerusi sepakan penalti.

Sementara itu, Pierre-Emerick Aubameyang meledak dua gol buat Borussia Dortmund untuk mara ke suku akhir hasil kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur.

Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino sebelum itu berkata dia lebih rela anak buahnya untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap saingan memburu gelaran Liga Perdana Inggeris, sekali gus meletakkan bintang utamanya, Harry Kane di bangku simpanan.

Harapan Spurs untuk memadam defisit 3-0 selepas tewas dalam aksi pertama di Jerman berakhir apabila Aubameyang menjaringkan gol pertama pada minit ke-24.

Aubameyang menjaringkan gol kedua pada minit ke-71 menewaskan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris dari bahagian sebelah kanan.

Biarpun Spurs berjaya menjaringkan gol tiga minit kemudian menerusi Son Heung-min untuk merapatkan jurang namun ia sudah terlambat bagi menyekat kemenanan Dortmund. - Agensi

Berita Harian X