Jumaat, 18 March 2016 | 1:10pm

Adnan seperti abang kandung - Siti Nurhaliza

DATUK Siti Nurhaliza. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Pemergian komposer ternama, Datuk Adnan Abu Hassan, pagi tadi memilukan hati ramai anak didik beliau termasuk Datuk Siti Nurhaliza.

Siti sendiri mula mencipta nama dalam bidang seni suara dengan menerusi lagu hasil ciptaan Adnan berjudul Jerat Percintaan, dua dekad lalu.

Karya berkenaan turut dinobatkan sebagai pemenang Juara Lagu dan Juara Kategori Balada, Anugerah Juara Lagu ke-11. Siti pula diumumkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik pada anugerah terbabit.

Menurut penyanyi berkenaan, terlalu banyak kenangan indah yang dikutip ketika bekerjasama dengan pencipta lagu terbabit, sejak awal pembabitannya dalam arena hiburan.

Menurut Siti, Adnan bukan sekadar menjadi individu pertama yang menyedari bakat dimilikinya, ketika beliau masih berusia belasan tahun, malah Siti menganggap penggiat seni terbabit tidak ubah seperti abang kandungnya sendiri.

"Paling mencuit hati dan menyeronokkan adalah ketika arwah sendiri menunggang motosikal untuk membawa Siti ke lokasi persembahan. Pernah pada satu masa, Siti ada dua hingga tiga persembahan dalam sehari, jadi arwahlah yang bersemangat menunggang motosikal membawa Siti ke lokasi terbabit sebab nak elak kesesakan lalu lintas.

"Sewaktu membonceng motosikal itu, Siti sudah bersedia dengan seluar panjang supaya memudahkan pergerakan. Sampai saja tempat persembahan, Siti terus tukar kepada gaun. Malah, ketika awal berjinak-jinak dengan dunia seni, Siti tinggal hampir setahun juga di rumahnya. Arwah turut melayan Siti macam adik sendiri," katanya.

Siti turut menyifatkan Adnan sebagai seorang yang sangat baik hati dan suka bergurau.

"Dulu, Siti pernah juga teringin untuk ke Sunway Lagoon kerana Siti tidak pernah menaiki roller coaster. Arwah jugalah yang berusaha memenuhi hasrat itu," kata Siti.

Siti akui, banyak kejayaan ditempa dirinya bersama karya ciptaan komposer berkenaan, termasuklah Jerat Percintaan.

"Lagu Jerat Percintaan ciptaan arwah memang cukup nostalgik. Ia menjadi permulaan kepada kelangsungan kerjaya seni Siti. Malah, ketika hayatnya, kami pernah berkongsi pentas di Istana Budaya, tahun lalu. Ketika itu, arwah bermain piano dan Siti menyanyikan lagu ciptaannya," kata Siti yang turut menggemari lagu Gelora Asmara ciptaan arwah untuk album Adiwarna (1998).

Siti memberitahu, beliau sempat melawat komposer berkenaan beberapa bulan lalu di hospital ketika arwah diserang angin ahmar tahap pertama. Siti juga antara artis yang berada Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam, Kajang, pagi tadi, ketika arwah disemadikan.

Adnan menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.17 pagi tadi di Hospital Selayang. Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan tengah malam semalam berikutan serangan angin ahmar, diabetes dan kegagalan buah pinggang.

Berita Harian X