Jumaat, 18 March 2016 | 1:14pm

MTUC mahu kadar caruman KWSP kekal

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mengekalkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja kepada 11 peratus.

Pemangku Presiden MTUC, Abdullah Sani, berkata kajian pihaknya mendapati majoriti pekerja tidak bersetuju dengan tindakan mengurangkan caruman KWSP sebanyak tiga peratus.

"Tindakan ini merugikan pekerja sektor swasta yang hanya mengharapkan wang ini sebagai simpanan hari tua kerana tidak menerima pencen.

"Langkah membenarkan pemotongan dibuat oleh majikan adalah tidak adil, apatah lagi memaksa pekerja mengisi borang khas KWSP17A (Khas2016) bagi yang mahu mengekalkan caruman 11 peratus.

"MTUC memohon kerajaan mengarahkan KWSP supaya memberi pilihan kepada pekerja yang ingin membuat pemotongan caruman KWSP sahaja yang perlu mengisi borang khas terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum pengekalan caruman KWSP pekerja kepada 11 peratus kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, Suhaili Ahmad, di sini sebentar tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam ada pengubahsuaian Bajet 2016, pada 28 Januari lalu mengumumkan sumbangan pekerja kepada caruman KWSP dikurangkan tiga peratus, manakala caruman majikan kekal.

43 dibaca
Berita Harian X