Jumaat, 18 March 2016 | 3:25pm

'MB Kelantan ada hak bercuti'


PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berhak mengambil cuti seperti mana pemimpin lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood, berkata cuti Menteri Besar Kelantan itu tidak perlu dikaitkan dengan sebarang isu.

"Saya tidak tahu berapa hari beliau bercuti, itu perlu dirujuk kepada Pejabat Menteri Besar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ab Fattah turut mengesahkan Ahmad Yakob mula bercuti selepas mesyuarat EXCO, Rabu lalu.

Media sosial melaporkan khabar angin Menteri Besar Kelantan mengambil cuti peribadi selama 15 hari yang didakwa mungkin mempunyai kaitan dengan pergeseran antara Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa.

Husam sebelum ini secara terbuka mendakwa Mohd Amar menjadi punca kepincangan pentadbiran kerajaan PAS Kelantan.

Berita Harian X