Jumaat, 18 March 2016 | 9:09pm

Munafik pungut RM15.4j, jumlah pawagam ditambah


PELAKON utama filem Munafik, (dari kiri) Pekin Ibrahim, Syamsul Yusof Haslam, Nabila Huda, Sabrina Ali, Fizz Fairuz, A. Galak pada majlis pratonton filem Munafik. - Foto Saifullizan Tamasdi

KUALA LUMPUR: Kebiasaannya sesebuah filem yang sudah beberapa minggu ditayangkan akan menyaksikan penyusutan dari segi jumlah pawagam yang memutarkan judul berkenaan.

Keadaan itu dianggap perkara biasa apabila pihak pempamer akan memberikan laluan kepada filem lain yang baharu memulakan tayangan, apatah lagi jualan tiket juga selalunya semakin berkurangan bagi sesebuah judul selepas beberapa minggu ditayangkan.

Namun keadaan sedikit berbeza bagi filem seram keluaran Skop Productions, Munafik, yang menyaksikan jumlah panggung ditambah selepas tiga minggu tayangan.

Berikutan sambutan hangat diberikan penonton terhadap karya arahan Syamsul Yusof itu, pihak pempamer menambah beberapa lagi panggung yang menayangkan filem terbabit, menjadi 120 kesemuanya.

Selepas tiga minggu menemui penonton, jumlah kutipan Munafik di negara ini mencecah RM14 juta.

Penerbitnya Datuk Yusof Haslam, berkata permintaan tinggi daripada penonton, terutama di Sabah dan Sarawak, menyebabkan Skop terpaksa mencetak kembali beberapa pakej sinema digital (DCP) bagi memenuhi permintaan pihak pawagam.

"Syukur alhamdulillah, sambutan penonton terhadap filem Munafik sangat luar biasa. Buat masa ini, kami sudah melakukan beberapa kali penambahan terhadap jumlah pawagam. Pada asalnya, hanya 90 panggung dipohon ketika kami membuat permohonan tayangan kepada FINAS. Daripada 90 ia menjadi 112 dan pada minggu kedua, ia ditambah lagi menjadi 117 pawagam. Pada minggu ketiga ini, ada beberapa pawagam bebas di Sabah dan Sarawak turut membuat permintaan, menjadikannya 120 pawagam sehingga kini.

"Memandangkan minggu ketiga ini kami akan berhadapan dengan filem blockbuster antarabangsa, Batman v Superman: Dawn of Justice, yang akan ditayangkan mulai 25 Mac, Munafik berkemungkinan akan diletakkan di pawagam lebih kecil. Namun, ia masih kekal ditayangkan di 120 pawagam, termasuk Singapura dan Brunei," katanya ketika dihubungi BH Online.

Menurut Yusof, kutipan RM14 juta yang diterima sehingga Rabu lalu hanyalah pungutan kasar daripada pawagam seluruh negara. Beliau yakin, jualan tiketnya akan melonjak sehingga mampu mencecah RM16 juta di Malaysia saja.

"Kami turut mendapat maklum balas sangat baik daripada penonton di Singapura dan Brunei yang menyukai pendekatan Islamik diterapkan menerusi filem ini. Setakat ini, kutipan kasar diterima daripada dua negara itu mencecah RM1.4 juta, menjadikan kutipan keseluruhan RM15.4 juta bagi 21 hari tayangan," katanya.

Munafik yang juga filem ke-39 terbitan Skop menampilkan bintang seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim, A Galak dan Syamsul sendiri.

Berita Harian X