Sabtu, 19 March 2016 | 12:06am

Mitos 'minum lapan gelas air kosong sehari'

CADANGAN Lembaga Pemakanan dan Khasiat Amerika Syarikat 1945 menyatakan setiap orang perlu minum kira-kira 2.5 liter air sehari tidak dibaca habis. - Foto hiasan
CADANGAN Lembaga Pemakanan dan Khasiat Amerika Syarikat 1945 menyatakan setiap orang perlu minum kira-kira 2.5 liter air sehari tidak dibaca habis. - Foto hiasan

RAMAI percaya sumber berkaitan perkara itu adalah daripada Cadangan Lembaga Pemakanan dan Khasiat Amerika Syarikat; 1945 yang menyatakan setiap orang perlu minum kira-kira 2.5 liter air sehari.

Bagaimanapun, kebanyakan orang lupa membaca ayat seterusnya dalam cadangan terbabit iaitu `kebanyakan kuantiti air diperlukan itu terkandung di dalam makanan'.

Pakar Pediatrik, Universiti Indiana Amerika Syarikat, Aaron E Caroll, berkata ini bermakna kuantiti air boleh didapati dalam bentuk makanan dan tidak semestinya dalam bentuk air.

Tidak semestinya air kosong

"Ia juga tidak semestinya air kosong malah termasuk minuman berperisa seperti jus mahupun kopi.

"Ada yang menyatakan kopi menyebabkan tubuh mengalami kekeringan, ini tidak benar," katanya dalam The New Health Care.

Katanya lagi, walaupun cadangan air sebagai minuman terbaik, sudah tentu ia bukan penyebab hidrasi.

Beliau turut menegaskan ketidakperluan meminum semua air daripada minuman.

"Tidak perlu risau mengenai rasa haus kerana tubuh manusia akan memberi isyarat untuk minum terlebih awal sebelum anda mengalami dehidrasi," katanya.

Sementara itu, Doktor Umum di Glasgow, Scotland, Dr Margaret McCartney, berkata kebanyakan doktor sudah mengetahui bahawa tiada bukti saintifik yang memerlukan minum air kosong dengan banyak.

"Tubuh manusia memiliki kebolehan dalam mengira sendiri air yang diperlukan tubuh.

"Apabila tubuh memerlukan air, terdapat mekanisma yang dikenali sebagai dahaga iaitu isyarat untuk minum," katanya.

Minuman terbaik adalah percuma dan bersih daripada paip.

Tiada bukti sainstifik

Mekanisma dahaga sangat berkesan dalam menentukan berapa banyak air perlu diminum secara purata setiap hari.

Ia bergantung kepada berapa aktif seseorang, berapa banyak air di dalam makanan yang kita makan dan sekiranya mempunyai sebarang isu kesihatan.

Ulasan daripada Pakar Fisiologi Sekolah Perubatan Dartmouth, AS, Heinz Valtin, mendapati tiada rujukan berkaitan minum lapan gelas air sehari.

Beliau mengakui terdapat cadangan Lembaga Pemakanan dan Khasiat Pemakanan 1945 yang mengatakan banyak cecair terdapat di dalam makanan yang kita makan.

"Mesej ini sering dilupakan," katanya.

Tidak perlu banyak air

Minum banyak air dikatakan mengurangkan jangkitan salur kencing, warna kulit lebih sekata, membantu mengurangkan berat badan, mengurangkan sakit kepala dan keresahan, mencegah sembelit serta meningkatkan tumpuan.

Bagaimanapun, tiada bukti yang boleh mengaitkan semua ini.

Buah pinggang sangat hebat dan tidak memerlukan banyak air untuk menyingkirkan toksin dan memekatkan air kencing untuk menjimatkan air.

Pengeluar air dalam botol mungkin cuba menyampaikan mesej bahawa minum lebih banyak air adalah lebih baik.

Sehingga kini, tiada bukti air di dalam botol adalah lebih baik daripada air yang disalurkan dari dalam paip.

Anda boleh minum jenis cecair lain dan ia berkesan tetapi mungkin mengandungi lebih gula yang kurang baik pula untuk kesihatan.

Minum terlampau banyak air juga boleh menjejaskan kesihatan seperti terlebih penghidratan sama ada secara disedari atau sebaliknya.

Kehausan berpunca daripada penyakit

Sebagai contoh, individu mungkin minum terlampau banyak air ketika atau selepas bersenam.

Sesetengah ubat juga boleh menyebabkan mulut kering dan meningkatkan rasa dahaga. Peningkatan dahaga boleh berpunca daripada penyakit diabetes yang tidak terkawal.

Keadaan psikiatrik seperti skizofrenia juga boleh menjadi punca seseorang mengalami desakan untuk minum lebih banyak air.

Terlebih penghidratan boleh disebabkan pengumpulan air dalam tubuh akibat keadaan kesihatan seperti penyakit hati, masalah buah pinggang dan sindrom kegagalan jantung.

Gejala terlebih hidrasi termasuk loya, muntah, sakit kepala dan perubahan mental (kecelaruan dan kekeliruan).

Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, terlebih penghidratan boleh menyebabkan bahaya akibat kadar sodium yang rendah di dalam darah (hiponatremia).

Ini boleh menyebabkan gejala yang lebih teruk seperti lemah otot, kekejangan, sawan dan tidak sedarkan diri.

KUANTITI air juga boleh didapati daripada minuman berperisa seperti jus mahupun kopi. - Foto hiasan
KUANTITI air juga boleh didapati daripada minuman berperisa seperti jus mahupun kopi. - Foto hiasan

INFO: Antara sayur dan buah yang mengandungi air

  • Timun
  • Salad
  • Seleri
  • Tomato
  • Cili benggala (hijau)
  • Kobis bunga
  • Brokoli
  • Lobak kecil
  • Tembikai
  • Belimbing besi
  • Strawberi
  • Tembikai susu

Berita Harian X