Sabtu, 19 March 2016 | 12:18am
KIM Dong Gyun mengakui agak sukar menguasai Bahasa Malaysia dan Indonesia. - Foto Rohanis Abdul Shukri
Seperti penyanyi K-pop lain, Dong Gyun meminati PSY.
KUMPULAN Bigbang.

Penyanyi Kpop 'gila' lagu Melayu

MUZIK K-pop ketika ini sememangnya menjadi kegilaan ramai peminat seni hiburan di Asia, termasuklah negara kita. Nama seperti Psy, Big Bang, EXO, Rain, Taeyang, G-Dragon dan Jang Keun-suk antara yang sering meniti bibir penggemar muzik dari Korea Selatan.

Bukan sekadar menjadi ikutan peminat, malah segelintir selebriti tempatan turut menjadikan imej bintang K-pop sebagai ikutan.

Pada masa sama, ada juga bakat dari negara ini yang mencuba nasib di negara berkenaan, sama ada secara sendirian mahupun menerusi pertandingan yang diadakan.

Namun, suasana berbeza bagi penyanyi yang dikenali sebagai Kim Dong Gyun. Memilih untuk mencipta nama dalam dunia muzik di sini berbanding negara sendiri, lelaki berasal dari Korea terbabit lebih tertarik untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu.

Berikutan dirinya terpikat dengan lagu dendangan Faizal Tahir, Datuk Siti Nurhaliza dan Joe Flizzow, hakikat itu membawa penyanyi berusia 32 tahun yang mahu dikenali dengan nama Vince Kim ini merantau ke Malaysia bagi mencipta namanya dalam industri seni di sini.

Mengakui, pada mulanya agak sukar untuk beliau menguasai Bahasa Melayu dan Indonesia, namun minat mendalam dirinya terhadap nyanyian membuatkan lelaki ini bertekad menguasai bahasa kedua-dua negara.

"Saya banyak mendengar lagu Faizal, Siti dan Joe Flizzow. Dari situ saya belajar menghayati setiap bait liriknya bagi menguasai bahasa Melayu.


KIM Dong Gyun meminati dan sukar mendengar lagu Faizal, Siti Nurhaliza dan Joe Flizzow. - Foto Rohanis Abdul Shukri

"Di Korea, saya tidak pernah mengikuti kursus atau kelas bahasa Melayu, sebaliknya saya banyak membeli buku serta kamus berbahasa Melayu untuk dijadikan sebagai bahan rujukan. Dengan cara itu, saya secara perlahan-lahan belajar dan memahami setiap maksud dalam lirik lagu terbabit.

"Dengan mendengar lagu Melayu, ia membuatkan pembelajaran saya lebih mudah. Cara itu banyak membantu saya menguasai bahasa Malaysia," katanya.

Menurut beliau, pada dasarnya memang mempelajari sesuatu bahasa asing agak sukar. Begitupun, sebelum ini beliau pernah mempelajari bahasa Perancis dan Mandarin, justeru bahasa Malaysia serta Indonesia baginya tidaklah begitu susah untuk dikuasainya.

Meskipun pertuturannya kini tidaklah sebegitu lancar dan komunikasinya pula lebih kepada bahasa Indonesia, semangatnya jelas terpancar untuk mengorak langkah, seterusnya memastikan kemunculannya dalam bidang muzik di Malaysia diterima ramai.

Menyedari, peminat muzik ketika ini, terutama golongan muda, lebih terarah kepada K-pop, penyanyi berasal dari Mok Po, yang pernah dinobatkan sebagai Penyanyi Paling Popular pada Pertandingan Nyanyian Kebangsaan Korea Selatan 2004, mengatakan sukar bagi penyanyi solo yang mengetengahkan lagu balada untuk bertapak di negaranya.

"Usia seperti saya juga sudah dianggap terlalu lewat untuk memulakan karier seni di Korea apabila penyanyi di sana kebanyakannya sudah diperkenalkan kepada umum sejak usia muda lagi. Begitu juga tidak mudah untuk artis solo mencipta nama berikutan industri seni di negara itu lebih terarah kepada artis berkumpulan dan harus pandai menari," ujarnya.


PENYANYI Korea, Kim Dong Gyun. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Kata Kim, beliau mula mendengar lagu Melayu ketika bekerja di sebuah syarikat Korea di Jakarta pada 2009 dan dari situ dirinya mengenali D'Masiv, Kerispatih dan Peterpan.

Sejak itu juga kata bekas penuntut Universiti Kyung-Hee ini, keinginan beliau untuk bergelar penyanyi semakin berkobar-kobar.

Namun, hasratnya untuk memiliki single pertama di sana tidak kesampaian apabila ditipu sebuah syarikat pengurusan.

"Selepas dua tahun menetap di sana, saya pulang semula ke Korea dan kembali lagi pada 2011 untuk menjadi artis. Di dalam kontrak, mereka menyatakan akan menerbitkan sebuah single, sebaliknya saya hanya muncul dalam program di sebuah stesen TV.

"Disebabkan kecewa, saya berhijrah ke sini dan bertemu dengan penggiat seni veteran, Ong Peng Chu. Saya berharap kemunculan saya di sini dapat diterima ramai," katanya yang muncul dengan single pertama berjudul Masih Cinta.

Dalam tempoh dua minggu dimuat naik ke laman sosial YouTube, video muzik Masih Cinta yang turut menampilkan pelakon, Ruhainies, ditonton lebih 17,000 kali.

Bakal muncul dengan saduran Faizal Tahir berjudul Sayang, yang turut diselitkan dengan lirik berbahasa Korea, beliau turut berhasrat menerbitkan album Melayu sepenuhnya kelak.

"Sudah enam tahun saya berusaha keras untuk bertapak dalam industri muzik Melayu dan baharu kini ia dapat direalisasikan. Selepas ini, saya berharap ada peluang untuk saya bekerjasama dengan komposer tempatan pula.

"Jika muzik saya diterima di sini, saya akan meneruskannya dan membuktikan kepada keluarga, tanggapan mereka salah. Keluarga saya sebenarnya tidak bersetuju saya terbabit dalam industri seni," katanya yang turut mempunyai koleksi album Siti Nurhaliza.

Berita Harian X