Sabtu, 19 March 2016 | 6:45am

Belon udara panas riadah pelancongan di Putrajaya


SUKAN baharu, belon udara panas, menarik tumpuan orang ramai ke Putrajaya.

Jam menunjukkan ke angka 6.15 pagi dan sekumpulan jurumudi bersama beberapa petugas sibuk mengeluarkan tiga biji belon udara panas berserta kelengkapannya daripada treler dan trak sebagai persediaan untuk terbang.

Saiznya yang besar berserta kelengkapan lain nampak sangat berat, tetapi bagi tiga jurumudi berpengalaman dan petugas yang terbabit, mereka memerlukan kurang 45 minit sahaja untuk menegakkan tiga biji belon udara seberat 20-30 kilogram dan sedia untuk 'berlepas.'

"Jangan bimbang, cuaca cantik, tenang dan anda selamat," kata seorang daripada jurumudi atau 'pilot' di situ, Kapten Filip Audenaert.

Nada suaranya yang tenang dan bersahaja, pergerakan serta air mukanya yang meyakinkan sangat membantu meredakan perasaan teruja bercampur gementar lebih 12 penumpang yang kebanyakannya baru pertama kali menaiki belon udara panas.

Pagi yang tenang dan nyaman itu bertempat di satu kawasan lapang berhampiran Monumen Putrajaya, di Putrajaya, MyBalloonAdventure, syarikat yang mengendalikan belon udara itu membuat pelancaran belon udaranya. Ia lokasi sama setiap kali Fiesta Belon Udara Antarabangsa Putrajaya dianjurkan setiap tahun.

Kebolehan jurumudinya juga tidak perlu dipertikaikan. Audenaert misalnya sudah 20 tahun berpengalaman menaikkan belon udara panas dan mempunyai pengalaman beribu-ribu jam mengendalikan belon udara panas. Beliau juga adalah pengasas dan pemilik Filva Ballonvaarten di Belgium.

Begitu juga dengan dua lagi jurumudi berpengalaman iaitu Jonas dari Belgium dan Sobri Saad. Sobri anak kelahiran Kedah, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif di MyBalloonAdventure, turut memiliki pengalaman lebih 15 tahun dalam industri itu.

"Cuaca memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan belon udara dapat terbang dengan baik. Setiap penerbangan memberikan pengalaman berbeza dan situasi itulah yang membuatkan jurumudi lebih teruja menjayakan setiap penerbangan mereka.

"Selain cekap mengendalikan belon udara panas, jurumudi juga perlu mempunyai kepakaran melihat keadaan cuaca seperti bentuk awan, kelajuan angin dan sebagainya," jelas Sobri.

Belon udara panas juga tidak akan dinaikkan jika angin bertiup terlalu pantas melebihi 15 knot, hujan dan cuaca yang sangat panas.

Riadah pelancongan

Bagi yang memiliki bajet, apa salahnya cuba merasai pengalaman manis terbang tinggi seperti burung sambil menikmati keindahan matahari terbit dan panorama yang saujana mata memandang. Sungguhpun berada di dalam gondola (raga yang menempatkan penumpang), namun berada di udara secara terbuka tentunya satu pengalaman menarik.

Pakej yang bermula dengan harga RM850 ini lengkap sajian makan untuk berdua sebelum dan selepas hampir 45 minit-1 jam di udara. Buat pengusaha atau peminat belon udara panas, ada yang mengkategorikan aktiviti belon udara panas atau belon helium ini sebagai satu hobi dan ada pula yang mengkelaskannya sebagai satu riadah.

Tetapi buat pengunjung atau pelancong, lebih tepat ia dikatakan sebagai riadah pelancongan kerana aktiviti itu menguji daya tahan dan kelasakan diri seseorang. Ia mengundang rasa gementar dan teruja yang akan memberi satu kepuasan selepas mencabar diri untuk mencubanya.

Selepas berada di udara, mereka dihadiah pemandangan yang indah lagi mengagumkan. Selain keindahan Putrajaya dan tasiknya, jika bernasib baik dengan cuaca, mungkin dapat melihat KLCC, Menara Kuala Lumpur dan Tanah Tinggi Genting.

Pengalaman terbang setinggi 500 kaki (ketinggian maksimum belon udara panas) secara terbuka sambil merasai tiupan angin membelai wajah membuatkan model terkenal Amber Chia berasa sangat teruja. Apatah lagi berpeluang menyaksikan keindahan matahari terbit di negara sendiri.

"Saya memang teringin nak naik belon udara panas ketika saya di Adelaide, Australia dahulu. Saya juga seorang pengembara dan pernah melakukan 'skydiving,' memanjat batu dan menaiki belon udara panas adalah senarai teratas saya.

"Akhirnya saya dapat melakukannya dengan MyBalloonAdventure, anda tidak perlu pergi jauh untuk mengalaminya, malahan saya dapat berkongsi pagi hari dengan anak lelaki di udara. Siapa yang tak nak merebut peluang ini," kongsinya ceria dan puas.

Memiliki lesen FAA( FAA-Certificate) untuk mengendalikan belon udara panas, dua beradik Izzati Khairuddin, 29, dan adiknya Atiqah Khairuddin, 27, adalah dua individu yang bertanggungjawab dan terbabit secara langsung dalam bisnes belon udara.

Teruskan legasi ayah

Kedua-duanya meneruskan legasi ayah mereka, arwah Kapten Khairuddin yang memperkenal dan membawa masuk ke negara ini belon udara panas menerusi syarikat mereka AKA Ballon yang saban tahun menganjurkan Fiesta Belon Udara Panas di Putrajaya.

Kini dua beradik ini mengembangkan lagi sayap mereka dengan MyBalloonAdventure bagi memenuhi permintaan secara individu dan orang ramai yang tidak berkesempatan mencuba belon udara panas ketika pesta diadakan. Ini memandangkan AKA Balloon lebih kepada memenuhi permintaan syarikat korporat dan acara.

Bukan sahaja gigih meneruskan legasi ayah, lebih membanggakan, Atiqah dan Izzati juga adalah jurumudi belon udara panas wanita yang pertama di negara ini.

"Memandangkan bapa jurumudi pertama belon udara panas di negara ini, tidak menjadi masalah kami mempelajarinya daripada ayah. Ia memang menjadi keinginan dan harapan keluarga kami.

"Walaupun aktiviti belon udara panas ini masih baharu di sini, kami melihatnya sebagai satu sukan baharu, yang masih banyak ruang dan peluang untuk diterokai," jelas Atiqah.

Beliau turut menyatakan mereka mendapat Sijil Operasi Udara daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

"Jadi, tidak perlu lagi ke Eropah atau Istanbul jika mahu merasai manisnya pengalaman terbang tinggi dengan belon udara. Datang sahaja ke Putrajaya," pelawa Atiqah. - BERNAMA

Berita Harian X