Sabtu, 19 March 2016 | 6:49am

Perihal pendatang, peluang kerja dan cabaran ekonomi

Kunta Kinte dah banyak kali cerita macam mana orang asing yang kerja atau bermastautin di Malaysia hidup lebih senang daripada rakyat jelata Malaysia. Yang senang jadi lebih senang. Mampu beli atau sewa kediaman di sekitar KLCC. Yang susah pun jadi lebih senang daripada di negara mereka sendiri. Bukan mereka saja senang, anak bini mereka di kampung turut senang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani kata, tahun lalu pekerja asing hantar balik ke negara mereka melalui saluran rasmi sebanyak RM34.7 bilion. Kalau masuk yang mereka seludup keluar tentu lebih tinggi. Kalau ikut anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita, sebanyak RM1,504 bilion tahun lalu, jumlah yang dihantar balik oleh pekerja asing adalah 2.37 peratus.

Pekerja asing lebih bernasib baik

Kali ini Kunta Kinte nak bagi satu lagi contoh pekerja dan pemastautin asing di negara kita cukup bernasib baik. Baru-baru ini Kunta Kinte dijemput bercakap di sebuah institusi pengajian tinggi awam berkenaan ekonomi. Kunta Kinte ceritakan bagaimana dasar ekonomi terbuka ancam kedaulatan negara.

Kunta Kinte kata, tiap hari kedaulatan negara kita dicabar dan dinodai. Contohnya, setiap kali orang asing masuk secara haram atau masuk secara sah tapi tak keluar selepas visa tamat, kedaulatan negara kita tercabul. Lagi-lagilah bila mereka lakukan jenayah.

Sempadan adalah batas dan benteng kedaulatan sesebuah negara. Setiap kali ia dibolosi, setiap kali itu pula kedaulatan ternoda.

Kunta Kinte kata, dalam hal tertentu, pekerja dan pemastautin asing dapat lebih banyak perlindungan di negara kita daripada pekerja kita sendiri. Mula-mula mereka dilindungi oleh negara kita yang kenakan macam-macam syarat dan bayaran ke atas majikan yang hendak ambil pekerja asing.

Tiada kerja sesuai untuk penduduk tempatan

Mereka dijamin gaji tetap, tempoh kontrak kerja dan syarat lain yang lebih baik daripada di negara mereka sendiri. Bagi pekerja asing dari sesetengah negara sumber, mereka dijamin pula oleh kerajaan mereka melalui perjanjian dua hala dengan kerajaan kita.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, di banyak negara yang import pekerja, dah berlaku keadaan di mana kera di hutan disusui tapi anak di rumah mati kelaparan.

Kunta Kinte setuju kita tak boleh pertahankan orang kita yang pilih kerja atau malas. Kita tak boleh tunggu sampai mereka ubah sikap. Ekonomi kena dijana, kalau tidak semua rakyat jelata akan susah.

Yang kita kena ambil berat adalah ramai rakyat jelata kita sendiri yang hendak bekerja tapi tak ada kerja yang sesuai atau setimpal dengan kelulusan mereka. Dalam pada itu pula, ramai yang hilang kerja bila majikan kurangkan kakitangan atau tutup terus perniagaan kerana ekonomi tak berkembang pantas macam dulu lagi.

Kesan penurunan harga minyak

Misalnya ramai dalam sektor minyak dan gas sudah kena berhenti atau dikurangkan upahan kerana harga minyak yang merudum di pasaran dunia. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada hujung 2014 ada 400,000 penganggur berdaftar. Yang Kunta Kinte sangat takut dan sedih adalah daripada bilangan itu, 107,000 adalah graduan. Lagi menakutkan, peratus graduan yang tak ada kerja berbanding keseluruhan penganggur naik berterusan daripada 19.1 peratus pada 2012 kepada 21.5 peratus 2012 dan 26.8 peratus pada 2014.

Ini adalah tanda sahih bahawa ekonomi kita, khususnya sektor awam, tak lagi wujudkan pekerjaan macam dulu. Malah, baru-baru ini kita baca berita kata kerajaan akan bekukan pengambilan pekerja baharu perkhidmatan awam.

Memang susah nak cakap. Apa pun yang Kunta Kinte kata tetap tak kena. Tapi inilah tanda mutakhir bahawa ekonomi kita, khususnya kewangan awam, sedang dalam keadaan yang mencabar. Yang Kunta Kinte boleh kata, harap-harap kita ada jawapan yang lebih baik daripada terus menguncupkan perbelanjaan awam dan swasta.

Bukan apa, tapi kalau kita tersalah berjimat cermat, pertumbuhan ekonomi mungkin terencat dan susah nak digerakkan semula.

Wallahuaklam.

Berita Harian X