Sabtu, 19 March 2016 | 7:22pm

Nahas FlyDubai, tiada rakyat Malaysia terbabit

SERPIHAN pesawat FlyDubai di landasan Lapangan Terbang Rostov-on-Don, Russia hari ini. - Foto EPA
SERPIHAN pesawat FlyDubai di landasan Lapangan Terbang Rostov-on-Don, Russia hari ini. - Foto EPA

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian pesawat FlyDubai Airline penerbangan FZ981 terhempas di Rostov-on-Don, Russia hari ini.

Pesawat itu, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, telah tersasar daripada landasan semasa cubaan mendarat sebelum terhempas di landasan Lapangan Terbang Rostov-on-Don, kata Wisma Putra dalam kenyataan di sini.

Menurut laporan, seramai 55 penumpang dan tujuh anak kapal terlibat dalam nahas itu.

"Kementerian Luar ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat

dengan kejadian ini," kata Wisma Putra.

Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Moscow sedang memantau situasi itu dan akan memaklumkan perkembangan kejadian itu dari semasa ke semasa.

FlyDubai Airline, syarikat penerbangan tambang rendah Dubai, mengesahkan pada Sabtu bahawa penerbangan FZ981 dari Dubai ke bandar Rostov-on-Don di Russia terhempas ketika melakukan pendaratan.

Menurut kenyataan syarikat itu dalam laman webnya, nahas berlaku pada kira-kira 00:50 GMT (8.50 pagi Sabtu waktu Malaysia) ketika pesawat berkenaan melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Rostov-on-Don.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 18:20 GMT (2.20 pagi Jumaat waktu Malaysia). - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X