Ahad, 20 March 2016 | 10:28am

ATM bakal lunas tunggakan gaji 15 pemain, jurulatih

Foto Instagram @neollene.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Malaysia (FAM) akan membayar tunggakan sebulan gaji kepada 15 bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bekas jurulatihnya, B Sathianathan dalam masa terdekat ini.

Sathianathan ketika dihubungi BH Sukan, semalam berkata, situasi ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada dirinya dan 15 bekas pemain ATM selepas FAM memberi jaminan untuk membayar tunggakan sebulan gaji mereka itu yang tertangguh sejak tiga bulan lalu.

"Saya difahamkan FAM akan memotong geran tahunan ATM untuk melunaskan tunggakan sebulan gaji itu, namun saya tidak tahu jumlah keseluruhan bayaran yang dibuat kerana ia turut membabitkan tuntutan pembayaran lain.

"Meskipun FAM tidak memaklumkan tempoh mereka akan membayar tuntutan itu, setidak-tidaknya jaminan untuk pembayaran gaji itu ada, jadi tidaklah saya ternanti-nanti seperti sebelum ini," katanya.

Semalam BH Sukan melaporkan meskipun sudah sebulan berlalu selepas Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM) berjanji untuk melunaskan tunggakan gaji 15 bekas pemainnya yang berjumlah RM3.7 juta, kini janji yang dibuat itu masih belum ditunai berikutan tiada apa-apa perkembangan berhubung pembayaran tunggakan gaji itu, sebaliknya pemain terbabit terus menunggu jawapan daripada PBATM dengan penuh harapan.

Presiden Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang juga bekas kapten ATM, Hairuddin Omar berkata, setakat ini masih belum ada sebarang jawapan berhubung tunggakan gaji itu daripada PBATM.

Mengulas lanjut Sathianathan berkata, bayaran dibuat oleh FAM, bukan PBATM dan beliau enggan mendesak supaya mempercepatkan bayaran kerana percaya badan induk itu berpegang pada janji seperti yang dipersetujui sebelum ini.

"Saya sifatkan perkara ini sudah selesai kerana mereka berjanji untuk membayar gaji saya. Jadi, saya hanya perlu menunggu pembayaran gaji itu daripada mereka," katanya.

Sathianathan yang kecewa berhubung masalah tunggakan gaji itu sebelum ini mengakui tidak teragak-agak untuk membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja sekiranya bekas majikannya itu gagal melunaskan tunggakan gajinya.

Setakat ini, PBATM sudah melunaskan gaji jurulatih berusia 57 tahun itu sehingga Oktober lalu, cuma masih berbaki sebulan bagi November 2015.

Berita Harian X