Ahad, 20 March 2016 | 4:43pm

Wak Doyok nafi pakai jam tangan mewah palsu

KUALA LUMPUR: Ikon fesyen, Wak Doyok meluahkan rasa terkilan dengan segelintir pihak yang menuduh beliau memakai jam tangan mewah palsu, baru-baru ini.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Muhammad Azwan Mohd Nor, 36, berkata, dua jenama jam tangan mewah, masing-masing Penerai serta Omega, adalah asli dan orang ramai tidak sepatutnya mempertikaikan perkara itu.

"Sebagai orang fesyen, saya suka menggayakan apa saja jenis jam yang sesuai dengan imej saya tampilkan pada waktu itu.

"Saya ingin menegaskan di sini, jam tangan yang saya pakai itu adalah asli. Kenapa perlu membanding-bandingkan sama ada ia asli atau tidak?" katanya ketika dihubungi BH Online.

Terdahulu, sebuah akaun Instagram yang pakar dalam jam tangan mewah, @the.watch.police, mendedahkan aksesori yang digayakan Wak Doyok menerusi sebuah gambar yang dimuat naik di Instagram milik ikon fesyen itu adalah tidak asli.

Ia bukan kali pertama @the.watch.police mempertikaikan keaslian jam tangan mewah Wak Doyok. Beberapa bulan lalu mereka juga mendedahkan jam Omega yang digayakan beliau adalah palsu.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian gambar yang dimuat naik di Instagram personaliti itu dipadamkan.

Dalam pada itu, Wak Doyok juga menjelaskan, sebagai selebriti fesyen, beliau sering menerima beberapa utas jam tangan untuk dipromosikan (IG Review) di akaun Instagram miliknya.

Begitu juga dengan jam tangan mewah yang didakwa palsu itu, foto yang dimuat naik itu juga sebahagian daripada promosi IG Review.

Katanya juga, menjadi perkara biasa sekiranya beliau memadam foto-foto berkenaan selepas tamat tempoh kontrak.

"Tiada apa yang pelik jika melihat saya memadamkan beberapa gambar yang dimuat naik di Instagram. Ini kerana gambar itu adalah promosi IG Review.

"Jadi, jika ada yang menganggap saya memadam gambar yang kononnya saya menggayakan jam tangan mewah palsu, mereka silap," tegasnya.

Selain Wak Doyok, @the.watch.police juga mendedahkan beberapa selebriti tempatan termasuk Adira dan Datuk Aliff Syukri yang dianggap menggunakan jam tangan mewah palsu.

Berita Harian X