Ahad, 20 March 2016 | 5:04pm

Faye anggap gosip dirinya punca Elly bercerai mengarut


PELAKON, Faye Kusairi. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Pelakon, Faye Kusairi menyifatkan dakwaan dirinya menjadi punca perceraian antara penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein, dengan pengarah, Azmi Hatta, sebagai mengarut.

Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awg Kusairi, 29, berkata beliau terkilan apabila namanya terpalit sebagai pihak ketiga dalam kemelut hubungan dua selebriti terbabit sedangkan dirinya tidak begitu rapat dengan pasangan itu.

"Apabila membaca gosip berkenaan, saya faham masyarakat ingin tahu punca perpisahan Azmi dan Elly. Tetapi, adalah tidak adil apabila saya dipalit sama sebagai orang ketiga.

"Ini fitnah dan saya berasa terluka dengan tuduhan tidak masuk akal itu. Begitupun, tidak perlulah saya melatah atau memberi komen panjang-lebar. Yang penting perceraian Azmi dan Elly berlaku bukan kerana saya. Jika hendak diketahui puncanya, kenalah tanya mereka," katanya yang dihubungi BH Online.

Menerusi laporan sebuah akhbar mingguan hari ini, Faye dikatakan menjalinkan hubungan dengan Azmi dan perkara itu dapat 'dihidu' oleh Elly.

Dalam pada itu, Faye juga didakwa bercerita kepada beberapa pekerja belakang tabir dengan mengatakan Azmi dan Elly kononnya sudah bercerai pada Disember lalu.

Menurut laporan berkenaan, berikutan kejadian itu Elly tidak boleh memaafkan Azmi dan akibatnya, mereka memutuskan untuk bercerai.

Sementara itu, Faye berharap khabar angin seperti itu tidak akan diperkatakan lagi kerana ia secara tidak langsung menjejaskan nama baiknya.

Perkara itu juga, menurutnya, membuatkan fikirannya terganggu, apatah lagi ketika ini beliau perlu memberikan fokus terhadap lakonan teater muzikal Hansel And Gretel, yang dipentaskan bermula hari ini sehingga Selasa depan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

"Ini teater pertama saya, justeru saya perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap persembahan ini. Apabila gosip ini muncul, ia membuatkan saya sedikit terganggu. Perkara ini tidak betul, jadi saya ambil pendekatan untuk bertenang saja," ujarnya.

Baru-baru ini, Elly tampil mengesahkan dirinya sudah pun bercerai dengan Azmi, tahun lalu.

Elly dan Azmi mendirikan rumah tangga pada 9 November 2014. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan yang baru saja dilahirkan 10 Mac lalu.

Berita Harian X