Isnin, 21 March 2016 | 12:05am

Berkenalan dengan saintis genetik muda


TUGASNYA, sekilas pandang dan jika tidak faham, mungkin nampak mudah. Memberi khidmat rundingan kepada pesakit kanser mengenai kaedah boleh diambil dalam menangani penyakit genetik dialami daripada berlaku.

Namun, itu hanya sebahagian skop tugasan Nur Tiara Hassan, 25, sebagai Kaunselor Genetik Pelatih di Pusat Kajian Kanser Malaysia, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), di Subang Jaya.

Pada usia begitu, Nur Tiara adalah antara yang termuda di negara ini memasuki bidang yang baharu di negara ini.

Hakikatnya, kerjaya Nur Tiara bukan calang-calang kerana ia memerlukan kepakaran tinggi. Malah, tugas atau tanggungjawab digalasnya sebagai perunding genetik memberikan cabaran tersendiri, apatah lagi ia bidang kerjaya yang baharu bertapak di negara ini.

Sebagai saintis genetik, bagi setiap kes Nur Tiara akan memberikan rundingan kepada pesakit supaya memilih kaedah sesuai bagi 'melengah-lengahkan' serangan kanser atau berpuas hati dengan prosedur bakal dilalui.

"Saya banyak berurusan dengan pesakit kanser dan ini amat mencabar dari segi emosi. Saya memujuk hati untuk bersikap profesional dan menerangkan kepada mereka mengenai genetik dan keadaan kesihatan mereka dalam bahasa yang mudah mereka fahami.

"Pada saya itulah cabaran yang paling besar dalam tugasan ini," katanya ketika ditemui di SJMC, baru-baru ini.


BAKAL Kaunselor Genetik Pelatih, Nur Tiara Hassan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Buat analisis

Nur Tiara berkata, keperluan khidmat rundingan kaunselor genetik, bukan saja membolehkan pesakit atau klien berpuas hati dengan pilihan yang diambil, lebih dari itu menyelamatkan nyawa, kos perubatan dan sosial, sekiranya sesuatu penyakit kronik itu dapat dicegah atau dirawat dengan awal.

"Kita memberi pilihan kepada pesakit, untuk mengambil kaedah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan kanser, sama ada menerusi prosedur pembedahan, patuh pada jadual rawatan atau mengubah gaya hidup untuk terus dapat menjalani kehidupan dengan selesa.

"Sebab itulah meja saya tidak ada radas atau mikroskop. Kertas A4 dan pen membolehkan saya 'melukis' latar belakang kesihatan keluarga serta membuat analisis atau anggaran risiko berdasarkan sejarah keluarga," katanya.

Menjelaskan mengenai prosedur analisis dilakukan, katanya segala data mengenai genetik perlu diperoleh menerusi ujian genetik ke atas pesakit dengan menggunakan darah atau air liur bagi kes tertentu yang bukan saja sangat terperinci tetapi mengambil masa lama untuk disiapkan.

"Kalau ujian darah biasa, hanya boleh membaca maklumat terhad tetapi menerusi ujian genetik, ia boleh membaca hingga ke unit lebih terperinci di dalam setiap sel iaitu gen. Gen yang terdapat di dalam badan setiap individu ini penting bagi mengarahkan setiap sel untuk berfungsi dengan betul.

"Jika terdapat kesalahan dalam gen, individu mungkin berisiko untuk menghidap penyakit genetik seperti kanser. Menerusi sejarah keluarga juga kita akan dapat membuat anggaran risiko kepada pesakit dan langkah boleh diambil untuk menguruskan atau mengurangkan risiko mereka," katanya.


TIARA ketika ditemuramah di pejabatnya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pastikan maklumat menyeluruh

Nur Tiara berkata, dalam keadaan mengharukan ada pesakit sukar terima kenyataan sehingga perlu dirujuk kepada kaunselor klinikal, pekerja sosial, atau kumpulan sokongan untuk mengendali emosi mereka.

Akuinya, bukan semua orang memerlukan khidmat saintis genetik tetapi rasionalnya, kanser sudah menjadi seperti penyakit yang biasa didengari menyebabkan khidmat mereka sangat diperlukan pada masa depan.

"Kami mengkaji genetik. Memang kita tidak boleh merubah genetik tetapi sekurang-kurangnya kita boleh membuat persediaan dan mengambil langkah untuk mengelakkan diri kita berada dalam risiko kesihatan lebih teruk," katanya.

Beliau berkata, secara am bagi individu yang berisiko tinggi untuk menghidap kanser dan terdapat pelbagai langkah boleh diambil untuk mengurangkan risiko mereka.

"Misalnya, dalam kes selebriti terkenal dunia, Angelina Jolie, beliau sudah membuang kedua-dua payudara dan terbaharu turut membuang ovari dan tiub fallopiannya selepas kebanyakan ahli keluarganya termasuk ibu, nenek dan ibu saudara meninggal dunia pada usia yang agak muda akibat kanser dari mutasi gen BRCA1, di mana mutasi gen BRCA1 memberikannya anggaran 87 peratus risiko kanser payudara dan 50 peratus risiko kanser ovari.

"Dengan langkah beliau ambil, risiko kanser payudara dan ovari berkurang dengan signifikan sekali. Keputusan yang diambil ini bukanlah satu keputusan yang mudah. Di sinilah kaunselor genetik berperanan besar dalam memastikan individu memperoleh maklumat menyeluruh dan sokongan psikososial yang berterusan untuk membantu individu membuat pilihan terbaik untuk diri mereka sendiri," katanya.

Kebetulan, teknologi baharu termasuk mesin ujian darah canggih yang dapat mengkaji secara terperinci, membolehkan ruang kerjaya baharu sebagai saintis genetik ini diwujudkan dan ia antara kerjaya menjanjikan masa depan cerah.


TIARA 'melukis' latar belakang kesihatan keluarga serta membuat analisa atau anggaran risiko berdasarkan sejarah keluarga. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din


BIDANG genetik masih baharu di Malaysia tetapi penting bagi menganggar risiko pesakit kanser. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kerjaya pilihan

Mengenai minatnya dalam bidang itu, beliau berkata sejak mengikuti Ijazah Sarjana Muda Genetik dan Molekul Biologi, Universiti Malaya lagi, beliau sudah bercita-cita untuk menjadi saintis tetapi mahukan kerjaya yang banyak berjumpa atau berinteraksi dengan orang ramai.

"Saya lebih gemar berkerja di luar makmal dan pernah terdengar mengenai skop kerja kaunselor genetik yang membolehkan saya mengaplikasi serta mempraktikkan ilmu sains yang dipelajari secara langsung kepada orang ramai sewaktu di universiti," katanya.

Selepas tamat pengajian, beliau berkerja di Pusat Kajian Kanser Malaysia di bawah seliaan kaunselor genetik bertauliah, Yoon Sook Yee dan mendapat pendedahan yang mendalam mengenai skop kerjaya berkenaan.

Daripada situ, beliau sedari, kurangnya pakar atau kaunselor genetik yang diiktiraf.

Pendedahan dan pengalaman berkenaan, memberi inspirasi kepada Nur Tiara, untuk melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang berkenaan, sekali gus menyimpan cita-cita menjadi kaunselor genetik bertauliah bagi memenuhi keperluan negara.

Baginya, kepuasan dicapai dalam kerjaya itu ialah dapat membantu orang ramai.

Malah, pengalaman Nur Tiara sendiri, beliau dapat membantu ibunya mengesan kanser payu dara lebih awal kerana sudah biasa berurusan dengan pesakit kanser payudara dan biasa dengan simptom yang perlu diambil perhatian.

"Dua tahun lalu, ibu saya mengidap kanser payu dara. Walaupun doktor mencadangkan supaya ibu saya membuat pemeriksaan selepas tiga bulan, saya mengajak ibu untuk membuat pengesahan dan rawatan awal. Mujur, kami bertindak cepat. Selepas membuang lumpektomi pada bahagian payudara, ibu menjalani radioterapi dan hari ini kesihatan beliau semakin baik," katanya bersyukur dapat bertindak segera.


TIARA bercita-cita untuk menjadi saintis tetapi mahukan kerjaya yang banyak berjumpa atau berinteraksi dengan orang ramai. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Keluarga sentiasa beri sokongan kerjaya diceburi

Anak bongsu daripada dua adik beradik ini kini gigih melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Kaunseling Genetik di University of Sydney di Australia.

Beliau sudah berada dalam tahun kedua pengajian dan kini pulang bercuti selama tiga bulan. Dalam tempoh bercuti, beliau turut menjalani latihan klinikal di Pusat Kajian Kanser Malaysia di SJMC, pusat yang banyak mengkaji mengenai penyakit berkaitan genetik iaitu kanser.

 Nur Tiara bertuah kerana menerima biasiswa Yayasan Sime Darby (YSD) bernilai RM410,000 dan dijangka menamatkan pengajian pada penghujung tahun ini.

"Selepas setahun berkhidmat dengan Pusat Kajian Kanser Malaysia, saya berjaya menerima biasiswa YSD dan menjadi satu-satunya penerima biasiswa yang melanjutkan pengajian dalam bidang kaunseling genetik," katanya.

Jika segala-galanya berjalan lancar, selepas tamat pengajian gadis kecil molek berkulit sawo matang ini, akan berkhidmat di Pusat Kajian Kanser Malaysia dan bakal menjadi kaunselor genetik termuda di Malaysia.


TIARA membuat analisis dan menganggar risiko pesakit kanser. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Cemerlang sejak kecil

Anak kepada pasangan Hassan Sulaiman dan Siti Norijah Mohamed Yusoff ini sememangnya cemerlang sejak kecil. Beliau terpilih sebagai pemegang biasiswa YSD adalah berdasarkan kepada prestasi akademik beliau yang membanggakan sejak di bangku sekolah dan universiti selain bergiat aktif dalam program kesedaran membabitkan komuniti HIV/AIDS serta dana kemasyarakatan untuk beberapa rumah kebajikan.

Anak kelahiran Selangor ini mengakui, ibu bapa selalu berpesan untuk membuat yang terbaik dalam setiap lapangan diceburi.

"Mereka tidak pernah memaksa, sebaliknya selalu menyokong minat saya. Justeru, saya perlu bertanggungjawab ke atas kepercayaan diberikan oleh mereka kepada saya," katanya yang turut gemar melakukan aktiviti lasak seperti pendakian.

PROFIL: Nur Tiara Hassan

  • Usia : 25
  • Kerjaya : Kaunselor Genetik Pelatih, di Pusat Kajian Kanser Malaysia, SJMC
  • Penerima biasiswa usahasama antara Yayasan Sime Darby dan Pusat Kajian Kanser Malaysia
  • Menjalankan aktiviti penyelidikan bertaraf antarabangsa untuk menghasilkan alternatif serta kaedah baru bagi mencegah, mengenalpasti serta merawat kanser.
  • Bakal menjadi kaunselor genetik ketiga di Malaysia
282 dibaca
Berita Harian X