Isnin, 21 March 2016 | 7:00am

Digi hampiri sasaran penyedia internet pilihan


KETUA Perkhidmatan Digital Digi, Praveen Rajan Nadarajah. - Foto praveenrajan

SHAH ALAM: Digi Telecommunications Sdn Bhd kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran menjadi penyedia internet mudah alih pilihan pengguna negara ini.

Ketua Perkhidmatan Digitalnya, Praveen Rajan Nadarajah, berkata pihaknya percaya asas kukuh yang dibangunkan dalam perniagaan data selama ini meletakkannya di landasan kukuh bagi memenuhi peningkatan permintaan bagi perkhidmatan internet berkualiti tinggi.

Katanya, ini bersandarkan penerimaan baik orang ramai terhadap pendekatan menyegarkan semula identiti jenamanya yang dilaksanakan tahun lalu, sekali gus menyaksikan Digi kini menyandarkan kepada empat tunggak utama.

Beliau berkata, tunggak berkenaan ialah menambah nilai kepada pelanggan; menawarkan kandungan gaya hidup; menyediakan rangkaian internet terbaik; dan akses kepada internet yang mudah.

"Empat tunggak utama berkenaan adalah maklum balas Digi kepada aliran kehendak masyarakat hari ini," katanya dalam temubual di sini, baru-baru ini.

Praveen berkata, syarikat induk, Digi.com Bhd komited memperuntukkan perbelanjaan modal besar sekitar RM900 juta tahun lalu dan tahun ini.

Katanya, ia bagi merealisasikan misi proses menyegarkan semula identiti jenama yang mengubah semua bahagian perniagaan bagi membolehkannya berada di hadapan dalam industri.

"Tumpuan kami kepada internet adalah maklum balas kepada kaji selidik dijalankan sebelum ini yang mendapati purata rakyat negara ini menghabiskan 3.3 jam sehari melayan internet, yang mana hiburan dan aplikasi masing-masing menyumbang 26 peratus daripada masa di internet," katanya.

Hiburan merangkumi permainan seperti Clash of Clans, Instagram dan Youtube, manakala aplikasi merangkumi Google Play Store, facebook dan twitter.

Pelbagai perubahan dilakukan Digi sejak tahun lalu, antaranya menawarkan aliran muzik tanpa had secara percuma; memperkenalkan Capture, iaitu perkhidmatan penstoran berasaskan perkomputeran awan untuk foto dan video; aliran video; dan pembayaran langsung melalui Digi bagi pembelian aplikasi dan permainan dalam Google Play.

Praveen berkata, Digi muncul syarikat telekomunikasi pertama Malaysia menawarkan pembayaran langsung bagi Google Play, bagi membolehkan orang ramai membeli aplikasi atau permainan menerusi Goole Play Store tanpa perlu bimbang sekiranya tiada kad kredit atau rasa tidak selamat memberi perincian kad kredit kepada Google.

"Sejak perkhidmatan itu diperkenalkan September 2015, 90 peratus pembelian adalah berkaitan permainan," katanya.

Laporan dalam talian App Annie menunjukkan 25 peratus pendapatan daripada muat turun permainan Clash of Clans, permainan paling popular di Android, adalah menerusi perkhidmatan pembayaran langsung ke Digi.

Beliau berkata, perkhidmatan pembayaran langsung itu juga menggalakkan lagi lebih ramai rakyat negara ini membangunkan aplikasi tempatan untuk dipasarkan.

Bagi pelanggan prabayar Digi, pembelian akan dipotong daripada kredit prabayar, manakala bagi pelanggan pasca bayar, pelanggan akan dibil dalam kitaran bil bulanan berikutnya. Semua pembelian dalam Google Play tertakluk kepada GST enam peratus.

Mengenai muzik tanpa had yang diberikan secara percuma, Praveen berkata ia bertujuan menarik lebih ramai pengguna aktif setiap hari.

Digi memiliki asas pelanggan seramai 12.1 juta yang mana 7.45 juta daripada adalah pengguna aktif internet.

Berita Harian X